Nasib 6 MP BERSATU: Tak mustahil diterima kembali jadi calon, singkap sejarah Umno terima semula ahli parti


  • Politik
  • Rabu, 12 Jun 2024

Kesemua kerusi yang berpotensi untuk dikosongkan susulan perkembangan berlaku melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu itu merupakan kawasan tradisi Umno.

NASIB enam Ahli Parlimen Parit Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berpaling tadah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini seakan-akan berada di persimpangan.

Ia selepas kesemua wakil rakyat terbabit dilaporkan tidak lagi menjadi ahli parti tersebut apabila mereka gagal untuk mematuhi surah arahan dikeluarkan oleh BERSATU pada bulan lalu bagi menzahirkan ikrar taat setia.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan

Perkembangan tersebut menyaksikan nasib mereka kini terletak di atas tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang bakal membuat keputusan berhubung status kekosongan kerusi masing-masing.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris berkata, partinya bakal menghantar notis berkenaan kekosongan kerusi terbabit kepada Speaker Dewan Rakyat.

Situasi itu pastinya bakal membawa kemungkinan besar kepada berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) di keenam-enam kawasan tersebut.

Dengan perkembangan itu, ia menyebabkan nasib keenam-enam ahli Parlimen terbabit kini berada dalam keadaan tidak menentu.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada kesemua mereka akan diberi peluang untuk menjadi calon kepada mana-mana pihak termasuk parti daripada Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, lima daripada enam wakil rakyat terbabit sememangnya berasal daripada Umno sebelum menyertai BERSATU.

2738986

BERSATU dilaporkan bakal menghantar notis berkenaan kekosongan kerusi terbabit kepada Speaker Dewan Rakyat.

Pada masa sama, secara tradisinya, kesemua enam kerusi berkenaan secara tradisinya adalah dikuasai oleh Umno.

Disebabkan itu, adalah tidak pelik apabila Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa parti itu berhasrat meletakkan calon mereka di kesemua kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai calon bakal dipilih untuk mewakili partinya jika PRK terbabit diadakan.

Malah, dia juga tidak memberi sebarang gambaran sama ada Umno sudi menerima kembali penyandang keenam-enam Ahli Parlimen terbabit bagi menjadi calon partinya dalam saingan tersebut.

Sejarah Umno terima semula ahli keluar parti jadi calon

Untuk rekod, sejarah Umno menyaksikan parti itu pernah mencalonkan semula ahlinya yang sebelum itu mengambil keputusan menyertai parti lain bagi mewakilinya dalam pilihan raya.

Peristiwa itu melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah yang membuat keputusan untuk keluar Umno bagi menubuhkan Parti Semangat 46 atau S46 pada 1988 ekoran perebutan kepimpinan yang berlaku antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menerajui Umno.

Perkembangan terbabit menyaksikan beliau kemudiannya bertanding di bawah parti S46 di Parlimen Gua Musang yang disandangnya sebelum itu bersama Umno.

Keputusan Pilihan Raya 1990 menyaksikan beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berjaya kekal menguasai kerusi tersebut menewaskan bekas calon partinya, Umno.

Tengku Razaleigh Hamzah arrived at Umno division chiefs meeting at Menara Dato Onn in PWTC. AZMAN GHANI / The Star

Tengku Razaleigh Hamzah

Beliau yang turut dikenali sebagai Ku Li berjaya mempertahankan Parlimen berkenaan bersama S46 selama dua penggal berturut-turut sehingga 1995.

Namun, pembubaran S46 pada 1996 menyebabkan beliau kemudiannya membuat keputusan kembali menyertai Umno.

Ku Li seterusnya tetap dicalonkan Umno di kerusi tersebut dan memenanginya selama lima penggal berturut-turut sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.

Dengan mengambil kira sejarah tersebut, adalah tidak mustahil sekiranya Umno menerima kembali enam penyandang ahli Parlimen terbabit untuk menyertai mereka dan seterusnya menjadi calon pada enam PRK terbabit.

Bagaimanapun, keputusan berkenaan pastinya turut mengambil kira sentimen semasa pandangan masyarakat dan juga strategi yang mahu digunakan oleh Kerajaan Perpaduan khususnya dalam usaha mereka menarik sokongan pengundi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram