PERMOHONAN segelintir pemilik kenderaan diesel untuk mendapatkan bantuan program Budi Madani ditolak kerana tidak memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Penolakan permohonan itu turut menimbulkan kekecewaan dan kekeliruan dalam kalangan pemohon yang mungkin tidak jelas mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi.
Hasil tinjauan Majoriti di laman media sosial, kebanyakan pemohon mengadu permohonan mereka antara lain ditolak kerana lesen kenderaan motor (LKM) kenderaan diesel masing-masing tidak aktif dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
BACA LAGI: 100,000 permohonan diluluskan, MOF seru lebih ramai mohon bantuan Budi Madani
Menurut seorang pengguna media sosial, Redza Izman, dia gagal permohonannya gagal kerana LKM miliknya tidak aktif berdasarkan rekod JPJ.
Namun, dia turut menjelaskan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana dia telah membayar LKM dan insurans kenderaan setiap tahun.
"Tidak lulus permohonan dengan alasan LKM tak aktif.
"Habis itu, aku bayar roadtax (cukai jalan) dan insurans untuk apa?" luahnya.
Tangkap layar aduan pengguna mendakwa permohonan Budi Madani ditolak kerana LKM tidak aktif atau tiada dalam rekod JPJ.
Misi Zura turut berhadapan masalah yang sama dengan Redza.
"Kenderaan sudah 12 tahun bayar cukai jalan dan insurans tetapi permohonan gagal," katanya.
Sementara itu, seorang lagi warga maya, Cik Nur menjelaskan sekiranya berlaku situasi tersebut.
"Sebelum mohon lebih elok periksa dahulu dengan JPJ. Pastikan kenderaan tersebut berdaftar atas nama pemohon dan pemilik.
"Saya tiada kenderaan diesel tetapi banyak membantu orang untuk mendaftar permohonan Budi Madani. Sekiranya kenderaan diesel itu milik pemohon, automatik nombor kenderaan akan keluar.
"Setakat ini, saya tak berjaya buat ekoran dua sebab sahaja iaitu kenderaan itu tidak menggunakan diesel dan kereta tersebut berdaftar atas nama orang lain selain pemohon," katanya.
Untuk rekod, Inisiatif Budi Madani yang dibuka sejak 28 Mei lepas adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori Budi Madani; dan kepada petani kecil dan pekebun kecil melalui kategori Budi Agri-Komoditi.
Bagi pemohon individu yang gagal, Kementerian Kewangan berkata, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman web Budi Madani iaitu https://budimadani.gov.my.
Bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah kementerian berkaitan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu.
Selepas itu, mereka digalakkan mengemukakan permohonan Budi Madani (sekiranya belum memohon) atau mengemukakan rayuan di laman web Budi Madani.
Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan Budi Madani, orang ramai boleh melayari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan Budi Madani di nombor 1-800-88-2747/ 03-8882 4565/ 03-8882 4566 atau secara e-mel di [email protected].— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram