Miza Ozawa mengaku bersalah jual diri di Telegram, rayu kurangkan denda kerana hidap HIV dan hamil 6 bulan


Siti Amiza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan KKM.

SEORANG wanita hamil enam bulan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor pada Rabu atas pertuduhan mencari pelanggan dalam aktiviti persundalan menerusi akaun Telegram, awal bulan lalu.

Tertuduh, Siti Amiza Baharuddin, 27, yang dikenali sebagai ‘Miza Ozawa’ membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Bagaimanapun, Nurdiyanah menetapkan 24 Jun ini untuk fakta kes dan jatuh hukum yang mana pertuduhan akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

BACA LAGI: [VIDEO] Hot Daddy, 2 teman wanita kena dakwa lagi

BACA LAGI: [VIDEO] Hot Daddy Ash dilayan macam selebriti, ramai pelik apa jasa sumbangan kepada Malaysia

Mengikut pertuduhan, wanita yang juga peniaga ubat kuat itu didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Mahkota dekat Kajang, Selangor pada pukul 4 petang, 6 Jun lalu.

Namun, Siti Amiza dalam rayuannya meminta denda minimum kerana sedang mengandung enam bulan dan menghidap jangkitan HIV.

Bagaimanapun, Nurdiyanah tidak menetapkan sebarang jaminan atas pertuduhan itu.

Dalam prosiding sama, Siti Amiza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, Siti Amiza didakwa memiliki bahan-bahan itu yang terkandung dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki ubat kuat tanpa kelulusan KKM, wanita itu didakwa memiliki ubat tidak berdaftar dengan KKM iaitu dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara Jelita yang didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran atas kedua-dua kesalahan dan hukuman berjalan berasingan.

"Bagi kesalahan di bawah KKM, hukuman denda saja tidak memberi pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam," katanya.

Siti Amiza dalam rayuannya memohon hukuman setimpal dan denda dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan selepas wang simpanannya untuk bersalin sudah dirampas pihak berkuasa.

"Saya menyara hidup sendiri di Selangor dan mohon denda seminimum mungkin," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram