'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin


  • Politik
  • Isnin, 10 Jun 2024

Saifuddin (tengah) ketika menghadiri Mesyuarat MPT BERSATU yang berlangsung pada Jumaat. — Saifuddin Abdullah

LANGKAH dikenakan terhadap enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berpaling tadah adalah melibatkan tindakan pemberhentian keahlian dan bukannya perlucutan atau pengguguran keahlian.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, langkah diambil parti adalah selari dengan pindaan Fasal 10 Perlembagaannya yang berkaitan dengan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli.

Fasal tersebut antara lain memperuntukkan mana-mana ahli BERSATU yang juga wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi yang selari dengan adalah disifatkan terhenti keahliannya daripada BERSATU secara serta-merta.

BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama kali berlaku, kuasa Speaker Dewan Rakyat penentu nasib kerusi 6 MP BERSATU

"Dia bukan dilucutkan, dia terhenti (keahlian) serta-merta," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu pengosongan kerusi melibatkan enam ahli Parlimen BERSATU yang dilapor dikenakan tindakan selepas mereka mengambil pendirian bertentangan dengan parti apabila menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).

448059461_995289868633298_4981565294623615871_n

Mesyuarat MPT BERSATU yang berlangsung pada Jumaat. — Saifuddin Abdullah

Terdahulu, media melaporkan bahawa, enam Ahli Parlimen BERSATU digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis MPT parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Susulan daripada itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris pada Isnin berkata, partinya akan menghantar notis kekosongan kerusi tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis dan pakar perundangan berpandangan tindakan tersebut berpotensi tidak membawa kepada pengosongan kerusi kerana wujudnya kemungkinan perbezaan dalam hal pentafsiran berhubung peruntukan terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia antara lain membabitkan pentafsiran Speaker Dewan Rakyat terhadap maksud perlucutan keahlian.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, BERSATU sudah pun mengambil langkat tertib mengikut Perlembagaan parti dalam menguruskan isu berkenaan.

"Istilah yang kami gunakan atau tindakan yang kami gunakan ialah berhubung dengan mereka ini terhenti serta merta keahliannya. Itu berada di dalam Fasal 10 Perlembagaan BERSATU termasuk pindaan yang dibuat baru-baru ini," ujarnya.

Menurut Saifuddin, tindakan seterusnya yang akan diambil BERSATU akan diumumkan menerusi setiausaha agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Pada Sabtu, Hamzah dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat MPT yang berlangsung pada Jumaat sudah pun mencapai keputusan berhubung status tujuh wakil rakyatnya termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpaling tadah.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Jumaat memaklumkan beliau belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen BERSATU yang digugurkan keahlian mereka daripada parti.

Johari turut memaklumkan beliau juga memerlukan masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat, terutama melibatkan undang-undang termasuk akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), sebelum memutuskan sebarang keputusan terhadap mereka.

Untuk rekod, Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan menggariskan dua sebab seseorang Ahli Dewan Rakyat perlu mengosongkan kerusi dimenanginya dalam pilihan raya.

Ia melibatkan tindakan wakil rakyat melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti politik, atau calon Bebas yang bertindak menyertai parti politik sebagai ahli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram