Kecederaan Syihan mula diragui, 2 GK dilabel 2x5 kerap 'simple mistake' depan gol Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 02 Jun 2024

Syihan (tengah) terpaksa melupakan kem latihan pusat Harimau Malaya kali ini gara-gara kecederaan. — FAM

KETIADAAN penjaga gawang utama negara, Syihan Hazmi pada pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 mengundang resah dalam kalangan peminat bola tempatan.

Ia selepas bintang Johor Darul Takzim (JDT) berusia 28 tahun itu disahkan mengalami kecederaan selepas skuad Harimau Malaya kehilangan empat lagi pemain iaitu Faisal Halim, Romel Morales, Arif Aiman Hanapi dan Darren Lok juga akibat situasi sama.

Cuma, kecederaan Syihan mula diragui apabila segelintir penyokong menyifatkan ia sebagai satu kejadian berulang yang kerap berlaku melibatkan pemain JDT dalam skuad kebangsaan.

BACA LAGI: Perit lihat suami dikecam, isteri Kalamullah tak mahu anak jadi pemain bola

BACA LAGI: Peluk bersama hargai fans Harimau Malaya, bagai petanda duo JDT ke Pantai Timur semakin hampir

Syihan merupakan pemain ketiga dari Harimau Selatan yang terpaksa melupakan khidmat bersama Harimau Malaya selepas Arif Aiman dan Romel Morales.

Perkembangan terkini itu menyaksikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak memanggil pemain pengganti, sebaliknya kekal dengan tiga penjaga gol iaitu Azri Ab Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Dalam pada itu, timbul pula pertikaian peminat yang kurang yakin dengan prestasi semasa dua lagi penjaga gol simpanan negara iaitu Kalamullah Al-Hafiz dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Dikatakan kerap membuat kesilapan mudah dan tidak konsisten dalam aksi di Liga Super, membuatkan penonton semakin goyah dalam pertemuan menentang Kyrgyzstan di pada 6 Jun nanti.

2313252

Peminat menyifatkan prestasi Kalamullah Al Hafiz kurang konsisten dalam saingan Liga Super.

"Pengganti Kalamullah dengan Sikh tu 2x5 je banyak buat silap mudah, payah la Malaysia jumpa Kyrgyzstan, silap tak turunkan dorang sebelum ini, bila dah terdesak baru nak bagi peluang.

"Dua-dua mesti gelabah sebab tekanan dan desakan peminat yang mahukan kemenangan negara," kata Mr Ragaman.

"Sikh Izhan banyak buat silap dalam perlawanan sebelum ni termasuk ketika di skuad B23, Azri lebih bagus kalau dibandingkan," ujar Paradox Azhar.

"Kallamullah tu tinggi tapi keyakinan kurang bila berdepan satu lawan satu, senang bocor nampak macam tak ada harapan dan Malaysia ni, Azri Ghani jela yang boleh diberikan peluang," tambah Qi Uhaizar.

Kem latihan pusat Harimau Malaya kini disertai 24 pemain dengan pemain Selangor FC, Nooa Laine akan menyertai pasukan pada Isnin bagi melengkapkan 25 pemain yang akan ke Bishkek, Kyrgyzstan pada Selasa.

Harimau Malaya seliaan Pan-gon akan menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun diikuti Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram