PUSAT rekreasi dan taman permainan yang lazimnya dijadikan kawasan aktiviti bersukan kini semakin tercemar dengan kegiatan penjualan ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape.
Perkara itu terbongkar menerusi tinjauan Majoriti di beberapa premis jualan vape sekitar Klang, Selangor apabila pemilik ataupun penjual didakwa membekalkan vape berperisa itu kepada golongan pelajar secara rahsia.
Malah, beberapa lokasi tumpuan jualan itu dijalankan adalah di gelanggang futsal, pusat snuker dan taman rekreasi yang menjadi kawasan lepak remaja sekolah.
BACA LAGI: Penggunaan dadah meningkat selepas Covid-19 khususnya ubat kuat lelaki, kandungan cecair vape
BACA LAGI: Industri vape bakal terkubur angkara peraturan ketat KKM?
Perkara itu didedahkan seorang penjual vape yang mengakui cecair berperisa ganja tersebut disukai ramai khususnya golongan muda.
Enggan identitinya didedahkan, penjual vape di premis kawasan Klang itu berkata, kebanyakan perisa seperti itu tidak dijual di kedai, tetapi diedarkan kepada individu tertentu untuk dijual di kawasan luar.
"Vape perisa ganja tidak dijual dalam kedai, tetapi kalau ada yang nak beli memang boleh bagitau, tapi kena simpan stok sendiri untuk pelanggan dia.
"Jual vape berperisa ni ada macam-macam, tapi ikut waktu sekarang memang perisa ganja ramai yang minat budak remaja sekolah, mereka ada yang berusia 16 tahun ke atas tapi jadi kegilaan kalangan kawan-kawan dia.
"Diorang biasa lepak main futsal ramai-ramai, jadi kawan pun berkumpul situ memang senang nak jual," katanya kepada Majoriti.
Antara cecair vape yang dijual di sebuah premis di Klang.
Membongkar bahawa vape yang digelar 'mushroom' itu turut dijual secara atas talian, beberapa laman Facebook dikatakan menjadi tumpuan pembeli setia peralatan elektronik tersebut.
"Kalau tak dapat dekat premis, dorang boleh beli online dekat Facebook, memang ada banyak laman yang kumpulkan peminat vape ganja ni, jadi tak susah pun nak dapat.
"Kandungan dia tak sekuat macam ganja yang asli, cuma bau dan asap je tebal, jadi orang ramai tengok takkan perasan pun itu perisa apa.
"Saya tak pegang stok, bila ada permintaan baru beli online dan jual pukal dekat pembeli sebab harga dia mahal daripada perisa lain," tambahnya.
Antara laman Facebook yang didapati menjual vape berperisa ganja secara atas talian.
Untuk rekod, polis baru-baru ini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan penjualan ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik di Melaka.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, suspek berusia 45 tahun bekerja sebagai penghantar barang ditahan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah Selatan pada 27 Mac lalu.
Polis merampas dadah jenis ganja seberat 41.28 kilogram serta 300 unit cecair ganja untuk digunakan bersama vape bernilai RM130,971. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram