Kes bunuh Zayn Rayyan: Tiada suspek lain ditahan selain ibu bapa mangsa — Ketua Polis Negara


  • 112
  • Ahad, 02 Jun 2024

Kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan (gambar) direman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

POLIS mengesahkan tiada suspek lain yang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hanya kedua ibu bapa kanak-kanak malang itu ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengulas pertanyaan sama ada akan ada tangkapan lain dibuat ataupun tidak, beliau berkata, hanya kedua ibu bapanya buat masa ini.

"Kita reman tujuh hari bagi polis Selangor menyiasat. Buat masa ini, itu sahaja dulu," katanya menurut laporan BuletinTV3.

BACA LAGI: Zayn Rayyan: Hanya seorang suspek terlibat, letak mayat waktu hujan lebat — Polis

BACA LAGI: Kes bunuh Zayn Rayyan, polis kumpul DNA 228 penduduk Apartment Idaman

Pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Sabtu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Azura Mohd Saad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pukul 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram