Polis P.Pinang buru lelaki sumbat ‘bulus’ dalam guni, humban ke parit sampai kuyup tidak bernyawa


  • 112
  • Sabtu, 01 Jun 2024

Tangkap layar seekor kucing ditemui mati dipercayai diikat dalam guni dan dibuang ke dalam parit dekat Jalan Kota Giam, Jelutong, George Town, Pulau Pinang pada Jumaat.

TULAR satu rakaman memaparkan penemuan seekor kucing yang diikat dalam guni dan dicampak ke dalam parit di Jalan Kota Giam, Jelutong, George Town, Pulau Pinang pada Jumaat.

Bungkusan guni itu kemudiannya dibuka seorang lelaki, namun kucing berkenaan ditemui dalam keadaan basah kuyup dan tidak bernyawa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Razlam Ab Hamid berkata, seorang wanita berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan membuat laporan berhubung kes berkenaan kira-kira pukul 11.58 pagi Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Lagi kes dera kucing, 'Henti aniaya haiwan atau anda kami penjarakan' — Persatuan Kucing Malaysia

BACA LAGI: Bulu kucing melekat di sejadah, pakaian, ketahui syarat sah solat

"Pengadu mendakwa melihat seorang lelaki membuang satu guni ke dalam parit pukul 8.30 pagi dan mendapati guni itu bergerak-gerak.

"Wanita itu segera memeriksa kandungan bungkusan guni itu dan menemukan seekor kucing dalam guni berkenaan.

"Pengadu cuba menyelamatkan kucing itu tetapi didapati sudah mati lalu menanam bangkai haiwan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Razlam berkata, kes disifatkan sebagai penganiayaan haiwan itu disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek tampil membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram