DARI pandangan kasar, menjadi pemain bola sepak dilihat sebagai sebuah kerjaya impian. Gaji tinggi, kemasyhuran serta sentiasa menjadi tumpuan ramai.
Namun tiada siapa sangka, di sebalik itu, menjadi pemain bola sepak terdapat pelbagai kesukaran seperti pekerjaan lain. Ada masanya, satu-satu pemain akan terdedah dengan kecaman penyokong.
Tambahan pula dengan kemajuan dunia dan kewujudan media sosial, penyokong lebih mudah mendekati pemain dan meninggalkan kata-kata kecaman kerana tidak puas hati.
Bagi penjaga gol, mereka lebih terdedah dengan kecaman penyokong kerana posisi tersebut adalah benteng terakhir sebelum gawang. Jika bola melepasi penjaga gol, maka bocorlah gawang itu.
Dan itulah yang dialami oleh penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kalamullah Al-hafiz yang sering menjadi sasaran penyokong pasukan itu seandainya gawang bocor.
Kalamullah mencatatkan nirbolos (clean sheet) sewaktu bertemu Kuala Lumpur City FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Tuan empunya badan pastinya kecewa, apatah lagi si isteri yang sentiasa menemani dan menyokong perjalanan karier. Di media sosial, teman hidup Kalamullah, Haryanie Taj meluahkan rasa lega apabila anaknya tidak mengikuti jejak langkah suaminya.
Dalam siaran IG Story Haryanie, dia meluahkan kelegaan apabila anaknya, Aakif memilih untuk ikut jejak langkahnya dengan menjadi tukang masak.
"Dalam banyak-banyak pekerjaan, tukang masak juga yang Aakif pilih. Anak Mami sangat-sangat. Jika diberi pilihan, anak-anak Mami seorang pun Mami tak nak bagi jadi pemain bola sepak.
"Maaflah Baba (Kalamullah), saya tidak cukup kuat (melihat) kalau anak-anak lalui macam awak lalui," kata Haryanie.
Haryanie lega anaknya tidak mahu menjadi pemain bola sepak. — Instagram/@ninii_taj95
Menurut Haryanie, dia tidak mahu anak-anaknya menjadi subjek kecaman penyokong bola sepak seperti yang sedang dilalui Kalamullah dan abangnya iaitu bekas pemain kebangsaan - Amiridzwan Taj.
"Cukuplah bapa saudara, bapa dia sendiri yang lalui semuanya, tambah-tambah lagi penjaga gol.
"Beribu (kali) lakukan saves, dipuji melambung tinggi. Satu je kesilapan, rosak hina segalanya," ujar Haryanie lagi.
Kecaman dan kritikan daripada penyokong mungkin adalah satu asam garam sebagai pemain bola sepak, tetapi ia mungkin terlalu kejam dan ganas untuk diterima Haryanie. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram