DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Isnin sekali lagi mengambil tindakan menyita gerai jagung bakar berhadapan KLCC milik penjaja warga asing.
DBKL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu dibuat selepas aktiviti penjualan tersebut dikesan kembali beroperasi.
Menurutnya, Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan Tindakan Penguatkuasaan dan Sitaan di sekitar kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang dan Saloma Bridge, Jalan Saloma, Kuala Lumpur.
“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL melaksanakan tindakan sitaan dan pindah barangan menerusi peruntukan di bawah UUK 3(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.
“Antara barangan yang disita adalah jagung, papan alas, dapur panggang, rak plastik dan lain-lain,” katanya pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] 10 maut 2 helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut
Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan Tindakan Penguatkuasaan dan Sitaan di sekitar kawasan LRT Ampang dan Saloma Bridge, Jalan Saloma. — DBKL
BACA LAGI: [VIDEO] Helikopter TLDM terhempas di Lumut sedang jalani raptai ketiga sebelum insiden — Khaled
DBKL turut memaklumkan, peralatan yang disita akan dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
“Tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.
Meskipun operasi sudah dilaksanakan, rata-rata warga maya berpandangan bahawa tindakan itu dilihat tidak terlalu efektif untuk mencegah aktiviti jualan warga asing di sekitar ibu kota yang semakin berleluasa.
Justeru seorang pengendali akaun laman X (Twitter), @komplenmy, berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengenakan tindakan atau hukuman lebih tegas ke atas penjaja warga asing yang tidak memiliki lesen sah.
"Benda ini akan berterusan selamanya selagi penguatkuasa tidak buat kerja atau (hanya kenakan) hukuman ringan.
"Hukuman yang berat perlu diberikan kepada (individu yang melakukan) kesalahan berulang.
"Misalnya, denda RM100,000 yang boleh bawa mereka ke arah bankrap. Barulah orang tidak buat kesalahan berulang," ciapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram