[VIDEO] Helikopter TLDM terhempas di Lumut sedang jalani raptai ketiga sebelum insiden — Khaled


  • Primer
  • Selasa, 23 Apr 2024

Pihak bomba sedang mengusung salah satu mangsa nahas kemalangan udara yang dikenal pasti terhempas di padang stadium pangkalan TLDM Lumut.

PANGKALAN Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada Selasa digemparkan dengan kejadian helikopter terhempas.

Dua helikopter yang dilaporkan bertembung dan terhempas itu sedang menjalani raptai untuk kali ketiga bersempena dengan sambutan Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung Sabtu ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian terbabit menyebabkan 10 anggota TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah maut.

Menurutnya, pihak TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang melibatkan helikopter TLDM itu.

"Saya berharap orang ramai tidak tularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti dan menghormati keluarga mangsa dan tidak mengganggu proses siasatan," katanya kepada media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Kementah, Kuala Lumpur pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] 10 maut 2 helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut

BACA LAGI: [VIDEO] Dua helikopter bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut

Beliau berkata, keluarga mangsa sudah dimaklumkan berhubung kejadian dan pihaknya akan membawa mereka yang berada di Pangkalan TUDM di Kota Kinabalu untuk dibawa ke Lumut bagi proses selanjutnya.

"Bagi pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) dan saya sendiri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dengan perasaan dukacita kejadian ini berlaku semasa latihan raptai untuk persiapan acara berkenaan," katanya yang akan ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan dan mendapatkan laporan penuh berhubung insiden terbabit.

TLDM pada Selasa mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyifatkan, nahas dua helikopter TLDM pada Selasa merupakan sesuatu yang amat malang.

“Bila tragedi sebegini berlaku, kita memang berasa amat sedih. Ia satu tragedi yang amat malang.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa dan lazimnya, kita akan tubuhkan lembaga penyiasatan,” katanya kepada akhbar tempatan. — The Star/FARIK ZOLKEPLI dan RAHIMY RAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram