Nahas helikopter: 2 beradik kembar tangisi pemergian ibu


  • Massa
  • Selasa, 23 Apr 2024

Pasangan kembar tersebut tidak dapat menahan sebak saat menerima perkhabaran ibu tercinta terkorban ketika bertugas.

PASANGAN kembar, Nur Qistina Awliyah Mohd Azinor dan Nur Qistina Auni Mohd Azinor tidak dapat menahan sebak saat menerima perkhabaran bahawa ibu tercinta terkorban ketika bertugas pada Selasa.

Jurugambar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pegawai Kecil Noor Rahiza Anuar, adalah antara 10 anak kapal yang maut apabila dua helikopter terhempas di udara di Lumut.

Menceritakan kejadian itu, Nur Qistina Auni, 16, berkata, seorang rakan memanggilnya keluar dari kelas dan meminta agar remaja itu menguatkan dirinya sebelum dia dibawa ke bilik guru.

“Di sana, saya melihat adik kembar saya menangis sambil seorang guru memegang tangannya.

“Saya tidak percaya ibu sudah tiada. Saya baru jumpanya pagi tadi (Selasa),” kata Qistina Awliyah yang dilihat menggendong adiknya berusia enam tahun.

Difahamkan mereka juga mempunyai seorang lagi adik lelaki yang berumur 15 tahun.

Kedua-dua remaja perempuan yang berasal dari Yan, Kedah itu merupakan pelajar SMK Pangkalan TLDM dan menetap di kuarters dekat Lumut, Perak sejak 2017.

Sementara itu, Nur Qistina Awliyah berkata, semasa sambutan hari raya tempoh hari, ibunya begitu teruja dapat mengambil gambar bersama-sama seisi keluarga.

"Katanya peluang seperti itu mungkin tidak akan datang lagi.

“Ibu suka membeli produk kecantikan dan kami akan menyimpan pakaian hari rayanya sebagai kenangan,” tambahnya.

Ujarnya lagi, sejak beberapa hari lalu, mereka jarang bertemu dengan ibu disebabkan terlalu sibuk dengan latihan Hari Tentera Laut.

"Dia biasanya keluar pada waktu pagi dan pulang ke rumah pada lewat malam," katanya sambil menambah bahawa mereka kini hanya mempunyai bapa di sisi. — The Star/Manjit Kaur

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram