ANAK sulung kepada Pegawai Memerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander-Kdr Muhamad Amir Mohamad yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak menyifatkan bapanya seorang yang kurang berbicara, namun sentiasa memenuhi keperluan anak-anaknya.
Nuraina Farhana, 16, yang juga pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar berkata, dia ketika itu berada di dalam kelas apabila dimaklumkan tentang kematian bapanya.
Pelajar yang tinggal di asrama sekolah itu berkongsi, dia menerima berita mengejutkan tersebut daripada gurunya ketika menghadiri bengkel pastri di sekolah berkenaan.
BACA LAGI: Nahas helikopter: 2 beradik kembar tangisi pemergian ibu
“Saya jumpa ayah pada Ahad. Dia seorang yang tidak banyak bercakap tetapi sentiasa memenuhi kehendak dan permintaan anak-anaknya.
"Kenangan bermain futsal semasa kecil adalah antara momen yang akan saya akan ingati sampai bila-bila," katanya kepada pemberita di luar Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Helikopter TLDM terhempas di Lumut sedang jalani raptai ketiga sebelum insiden — Khaled
Tambah Nuraina Farhana, bapanya dijangka dikebumikan di Sitiawan pada Rabu sebaik proses bedah siasat selesai.
Muhamad Amir meninggalkan isteri, Marliati Basri, 40, dan tiga anak.
Selain Nuraina Farhana, dua lagi anaknya masing-masing berumur 13 dan empat tahun.
Pegawai itu adalah antara 10 yang maut dalam nahas dua helikopter berlanggar di udara dan terhempas di pangkalan TLDM di Lumut. — The Star/Manjit Kaur
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram