NAMPAKNYA isu berkaitan pendidikan dan guru masih lagi belum reda. Terbaharu seorang guru meluahkan rasa kecewa media sosial, selepas aduannya tentang keadaan kuarters kediaman yang disediakan untuknya dipenuhi najis burung tidak dilayan.
Menurut @TheTehOriginal di laman Twitter peribadi miliknya, dia yang bertugas di salah sebuah sekolah di Negeri Sembilan terpaksa pulang ke rumah yang berbau busuk setiap hari.
“Hadiah Hari Guru. Letih dah buat aduan tapi jawapan yang dapat tak ada bajet. Balik tadi aku buka pintu rumah rasa pening gila dengan bau dalam rumah.
“Aku memang tak tahan dah. Terus pinjam lampu picit pengawal keselamatan dan panjat siling kuarters,” ciapnya.
Tambah individu berkenaan yang lebih dikenali dengan nama Cikgu Teh dalam kalangan warga maya berkata, majikannya turut membantunya membuat rayuan agar kerja membaik pulih siling kuarters berkenaan disegerakan, tetapi tetap menerima alasan yang sama.
Sehubungan itu, guru berkenaan bertindak mengambil keputusan sendiri untuk mengambil gambar dan video keadaan siling rumah untuk ditunjukkan kepada pihak berkenaan.
"Biar mereka melihat sendiri walaupun tidak merasai apa yang aku rasa. Tak guna sekadar kumpul aduan tapi tak melawat kawasan.
"Setiap kali aduan tiada pihak yang turun melihat dengan mata kasar. Sekurangnya kalau dia datang boleh dia nikmati bau-bau ‘wangi’ yang aku hadap setiap hari,” katanya.
Pada masa sama, Cikgu Teh turut memuat naik satu video di laman TikTok peribadi miliknya yang memaparkan keadaan siling kuarters tersebut yang dipenuhi najis burung dan lipas.
Selain itu, dia turut memuat naik beberapa gampar yang menunjukkan selain najis burung turut kelihatan banyak lipas dan bulu burung di atas siling berkenaan.
Luahan Cikgu Teh itu sememangnya menarik perhatian ramai kerana ia diluahkan pada Selasa iaitu sehari sebelum sambutan Hari Guru yang disambut setiap 16 Mei di seluruh negara.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Twitter meminta pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memandang serius berkenaan isu tersebut.
"Mohon pihak Kementerian Kesihatan memandang serius isu ini. Guru memainkan peranan yang besar dalam mendidik anak bangsa. Sekurang-kurangnya bagilah mereka kediaman yang selesa," kata Jasmin_i9.
"Kalau aku dah lama pindah, boleh kena penyakit lama-lama tinggal disitu. Bertabahlah Cikgu Teh," kata Arman/Iman.
"Besar jasa seorang guru, harap pihak atasan boleh pertimbangkan dan pindahkan Cikgu Teh ke tempat lain. Tetapi nanti cikgu lain pula yang jadi mangsa," kata Michelle pula.
Setakat berita nini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dan maklum balas daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram