SEORANG guru lelaki dan pasangannya terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa selama tiga tahun berikutan bau busuk yang didakwa berpunca daripada najis burung yang memenuhi bahagian atas siling kuarters kediaman di Jelebu, Negeri Sembilan.
Lebih menggelikan, bahagian atas siling premis tersebut turut menjadi sarang lipas dan serangga perosak lain.
Berikutan itu, guru yang menggunakan nama samaran di laman Twitter sebagai @TheTehOriginal itu nekad meluahkan rasa kecewa dengan menggunakan medium media sosial selepas aduan berkaitan masalah berkenaan tidak diendahkan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, Majoriti tampil menghubungi guru tersebut yang mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Jelebu.
Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Cikgu Teh berkata, sudah membuat beberapa aduan kepada 'pihak atasan' namun belum ada tindakan yang dibuat setakat ini.
"Banyak aduan sudah dibuat sampai saya sendiri tak ingat dan sehingga sekarang isu ini masih belum lagi diselesaikan.
"Malah, penyelia (pengetua) saya turut membantu membuat rayuan agar kerja membaik pulih siling kuarters berkenaan disegerakan tetapi tetap belum ada tindakan.
"Setiap kali aduan tiada pihak yang turun melihat dengan mata kasar," katanya.
BACA LAGI : [VIDEO] 'Hadiah Hari Guru, dah letih buat aduan', kuarters di Negeri Sembilan penuh lipas, najis burung
Ditanya sama ada pihak Kementerian Pendidikan (KPM) atau pihak yang terlibat sudah menghubunginya selepas kisahnya mendapat perhatian media, Cikgu Teh berkata, dia ada menerima ada menerima panggilan daripada KPM berhubung masalah tersebut.
"Saya dimaklumkan oleh pegawai KPM yang mereka akan mengambil tindakan susulan berhubung perkara tersebut tetapi setakat ini belum ada pegawai yang datang.
"Harapan saya ialah untuk isu ini diselesaikan dengan segera. Saya tak salahkan mana-mana pihak cuma bila berlaku perkara macam ini saya agak ralat," keluhnya yang sudah mengajar di sekolah berkenaan selama tujuh tahun.
Cikgu Teh berkata, dia hanya mampu membersihkan najis burung di ruang terbuka dan khuatir akan keselamatannya jika terpaksa memanjat bumbung.
Jelas Cikgu Teh yang baru bergelar bapa, dia mahu tindakan segera diambil kerana enggan masalah berkenaan mengganggu isteri dan bayi kembarnya yang baru dilahirkan.
"Saya akan bawa dua orang anak yang masih kecil untuk tinggal di sini dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.
Oleh itu, ujarnya, dia tidak mahu pasangan bayi kembar berusia dua bulan berkenaan menghadapi sebarang masalah kesihatan apabila tinggal di kuarters tersebut kelak.
"Jadi, saya mohon kalau boleh masalah itu boleh segera diselesaikan," katanya kepada Majoriti.
Guru yang tinggal di kuarters bersebelahan asrama sekolah itu menjelaskan, dia perlu menempuh banyak risiko jika memilih untuk menyewa rumah di kawasan lain.
Keadaan bahagian atas siling kuarters kediaman tersebut turut menjadi sarang lipas dan serangga perosak lain.
Tambahnya, ini termasuk sekolah tempat dia berkhidmat ketika ini berada pada jarak jauh dari kawasan pekan, iaitu kira-kira 30 hingga 50 kilometer (km).
"Lagipun, pekan yang ada bukan kawasan besar. Jadi, nak dapatkan rumah sewa pun agak susah.
"Jalan dari sekolah untuk ke pekan pun berbukit-bukau dan mempunyai selekoh berbahaya," katanya yang berasal dari Kedah.
Mengulas lanjut, guru itu berkata, dia pada peringkat awal sudah pun mengambil alternatif dengan melakukan baik pulih sendiri.
Katanya, dia hanya mampu membersihkan najis burung di ruang terbuka dan khuatir akan keselamatannya jika terpaksa memanjat bumbung.
"Saya tak tahan dengan bau najis yang agak kuat dan terpaksa hadap setiap hari.
"Ketika ini, saya terpaksa membuka pintu dan tingkap 24 jam. Risiko juga jika binatang lain yang masuk," katanya sambil menambah penduduk kuarters tersebut turut mengalami masalah siling bocor dan sistem perpaipan.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata, isu kuarters terbiar bukanlah isu baharu tetapi sudah berlaku sejak sekian lama tanpa ada perancangan konkrit daripada kerajaan.
"Isu itu bukan sahaja berlaku di Negeri Sembilan, malah di seluruh negara terutama di bawah penyeliaan KPM.
"NUTP bawa isu ini kepada pihak tertinggi KPM dan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Kami sedang berunding untuk mendapatkan kaedah terbaik bagi mengatasi isu kuarters terbiar seluruh negara," tegasnya.
Pada masa sama, Fouzi mencadangkan agar satu jabatan khas ditubuhkan bagi menyelia dan menyelenggara semua kuarters milik kerajaan.
Malah, dia turut menyarankan supaya kerajaan menjadikannya sebagai kuarters guna sama.
"Duit elaun perumahan yang dipotong sepatutnya dimasukkan dalam satu tabung khas yang boleh digunakan untuk menampung kos penyelenggaraan.
"Isunya ialah kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi serta tidak berbaloi jika kerajaan menyelenggara kemudian tiada permohonan untuk mendudukinya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram