DARIPADA menjadi kelab yang tidak mempunyai masa depan di Liga Super, kini Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sudah hampir memuktamadkan skuad bagi saingan liga musim depan.
Menerusi sidang media yang diadakan oleh pihak pengurusan KDA FC pada Selasa, skuad Hijau Kuning mengesahkan ketua jurulatih Kedah, Nafuzi Zain akan menggunakan lima pemain import bagi saingan musim depan.
Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang menjawab pertanyaan wartawan menyatakan Kedah tidak akan menambah pemain import sehingga jendela perpindahan kedua dibuka kelak.
"Kita tidak akan ada kuota Asean sampai separuh musim.
"Nanti kita lihat keperluan pada 'second window' bagaimana keperluan kita," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah, Shahrul Samsudin juga mengesahkan dalam usaha untuk mencari pasukan sekitar Asean bagi perlawanan persahabatan.
"Kita sedang usahakan dengan pasukan negara jiran, cumanya 'timing' itu agak sukar kerana Liga Indonesia habis awal Mei, Liga Kemboja hujung April.
BACA LAGI: Hujan lebat halang Sri Pahang jadi sehebat TBG, gagal pesta gol lawan juara SPL
Gordic (kiri) menjadi pemain import baharu Kedah musim ini. — Facebook/KDA FC
"Di rantau ini hanya Malaysia dan Singapura yang belum mula lagi, tapi Singapura dah ada kejohanan pramusim yang padat pada awal Mei.
"Kalau tidak dapat mungkin akan lawan pasukan tempatan, tetapi keutamaan tetap kelab antarabangsa," jelasnya.
Sebelum mengakhiri sidang media itu, Daud Bakar menjawab persoalan mengenai pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasiniqi dengan memberi bayangan skuad mereka sudah hampir sempurna untuk mengharungi saingan liga musim depan.
Untuk info, Kedah musim ini menukar kesemua pemain import mereka pada musim lalu dengan membawa masuk duo Terengganu FC, Sony Norde dan Habib Haroon.
Manakala tiga pemain import lain ialah Cleylton (Brazil), Sukhrob Nurullaev (Uzbekistan) dan Milos Gordic (Serbia) bagi mengharungi saingan musim depan sekali gus mengisi lima kuota pemain import Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram