KEDAH Darul Aman (KDA) FC dalam fasa mencuba sehabis baik untuk memadam episod hitam yang melanda pasukan Utara tanah air berkenaan dengan membawa masuk pemain baharu berkualiti bagi membantu mengharungi musim 2024/2025.
Baru-baru ini, skuad Hijau Kuning akhirnya dapat melarikan diri dari cengkaman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila disahkan sekatan perpindahan mereka sudah ditarik semula.
Berita gembira dari badan induk bola sepak dunia itu disambut dengan pembelian pemain baharu iaitu Jose Cleylton de Morais dos Santos yang akan memperkuatkan jentera pertahanan pasukan Hijau Kuning menjelang musim baharu ini.
Kehadiran bek tengah berusia 31 tahun berkenaan dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan pertahanan Serbia, Bojan Ciger selepas pemain itu menyertai pasukan di Liga Super Uzbekistan, FC Neftchi Fergana pada awal musim ini.
Pemain kelahiran Fortaleza, Brazil itu pernah beraksi bersama pasukan Sao Paulo di Liga utama Brazil dan juga kelab di Portugal, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain sebelum ini.
Jose Cleylton tiba dengan pengalaman beraksi di lapan kelab sebelum ini. — Facebook/KDAFC
BACA LAGI: Kapten Kedah bakal ikut SD TFC ‘u-turn’ ke Pantai Timur?
Pembelian bintang baharu Kedah difahamkan belum berakhir apabila ada khabar angin mengatakan skuad kendalian Nafuzi Zain akan merekrut seorang lagi pemain untuk mengisi posisi tengah.
Berdasarkan petunjuk iaitu pemain tengah merupakan posisi rekrut baharu pasukan Hijau Kuning menyaksikan nama Liridon Krasniqi disebut bakal kembali ke bumi Darul Aman selepas lima tahun meninggalkan KDA FC.
Jika pemain naturalisasi Harimau Malaya itu kembali, pastinya Liridon akan disambut bak wira oleh penyokong Kedah kerana kualitinya mampu mengisi pemergian Manuel Ott sebagai jeneral di tengah.
Liridon atau dikenali sebagai Mat Don dalam kalangan penyokong Kedah berada dalam lipatan sejarah Hijau Kuning apabila dia antara bintang Sang Kenari yang membantu mereka menjuarai Liga Perdana dan Piala Malaysia satu masa dulu.
Desas-desus dalam kalangan penyokong mengatakan pemain berkenaan akan diumumkan sebelum tarikh akhir jendela perpindahan iaitu pada 26 April 2024 dan pastinya individu misteri itu menepati ciri-ciri pemain diinginkan Nafuzi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram