'Cara Mat Don terlalu slow', Wan Jamak nampak Liridon kurang sesuai ke Kedah


  • Podium
  • Selasa, 16 Apr 2024

Liridon pernah dibimbing Cheng Hoe dan Marcote semasa mewakili Kedah. — Facebook/KedahFA

KEM Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak lagi gelap-gelita selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membuat keputusan untuk menarik semula sekatan perpindahan mereka baru-baru ini.

Perkembangan positif berkenaan membuatkan skuad Sang Kenari mendaftarkan seorang pemain baharu iaitu Jose Cleylton de Morais dos Santos untuk membantu memperkuatkan jentera pertahanan pasukan Hijau Kuning menjelang musim baharu ini.

Pemain berketinggian 1.9 meter mempunyai portfolio yang menarik apabila pernah beraksi di Timur Tengah, Amerika Selatan dan Eropah. Antara kelab disertainya ialah Sao Paulo di Liga utama Brazil; kelab di Portugal, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain.

Barisan pemain skuad Hijau Kuning untuk musim baharu akan bertambah lagi apabila difahamkan Liridon Krasniqi disebut bakal kembali ke bumi Darul Aman selepas lima tahun meninggalkan KDA FC.

Walaupun Liridon atau dikenali sebagai Mat Don merupakan pemain yang pernah membantu Kedah menjuarai Liga Perdana dan Piala Malaysia satu masa dulu namun khabar angin kehadirannya menerima pelbagai respons.

BACA LAGI: Pemain sensasi tiba saat akhir, nama Matdon dijangka 'mendarat' di Darul Aman

dalam mat don

Liridon merupakan pemain popular dalam kalangan penyokong Kedah. — Facebook/FAM

Desas-desus kehadiran pemain naturalisasi Harimau Malaya berkenaan itu juga sempat dibahas oleh bekas pengendali Kedah, Wan Jamak Wan Hassan yang berpendapat Liridon kurang sesuai dengan corak permainan moden.

Menurutnya, gaya permainan pemain berusia 32 tahun itu yang terlalu perlahan kurang sesuai untuk falsafah bola sepak moden dengan majoriti kelab Liga Super menggunakan pendekatan berkenaan.

"Saya tidak tahu apa positif dan negatif Mat Don ke Kedah sebab kalau tengok gaya bola sepak sekarang ini lebih kepada kepantasan tapi cara Mat Don terlalu slow. Banyak sangat kawalan bola.

"Falsafah bola sepak sekarang dah laju, sebab itu saya tak nampak dia bagi kelebihan atau tidak jika ke Kedah," katanya kepada Majoriti ketika mengulas kelebihan Liridon beraksi semula bersama Hijau Kuning.

BACA LAGI: Kapten Kedah bakal ikut SD TFC ‘u-turn’ ke Pantai Timur?

WhatsApp Image 2024-04-15 at 21.20.13 (1)

Wan Jamak pernah mengendali Kedah pada musim 2011-2012. — Agensi

Wan Jamak bagaimanapun menegaskan, keputusan akhirnya dibuat oleh jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain sama ada khidmat Liridon masih relevan dan membawa manfaat buat pasukan Utara tanah air itu.

Penerapan bola sepak moden yang diamalkan jurulatih berusia 45 tahun itu banyak mengamalkan corak formasi 4-3-3 dan falsafah 'Nafuziball' sudah terbukti ketika membawa Terengganu FC slot ke Piala AFC.

"Pengambilan Mat Don akan dinilai oleh jurulatih (Nafuzi). Jika jenis taktikal dia sesuai, mungkin boleh ambil khidmat Mat Don tapi jika tak sesuai, risau akan jejaskan pasukan. Jurulatih yang mengadunkan pasukan dan pemain.

"Mat Don bukan tak relevan tapi semuanya terpulang kepada taktikal yang diterapkan kepada jurulatih," kongsinya.

Tidak dinafikan, Liridon masih mempunyai kualtiti hantaran dan kawalan bola yang baik namun prestasi pemain kelahiran Kosovo ini tidak menentu, antaranya disebabkan faktor kurangnya minit permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram