Pangku tugas CEO KDA FC, peluang orang lama Kedah buktikan kemampuan


  • Podium
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Shahrul (tiga dari kiri) juga pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif KFA. — Facebook/KDAFC

KERUSI panas yang ditinggalkan Khamal Idris Ali menemui 'tuan sementara' apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan Ketua Pegawai Operasi, Teknikal dan Pertandingan, Shahrul Samsudin dilantik sebagai pemangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab itu.

Langkah tersebut dibuat bagi membantu menguruskan hal semasa skuad Sang Kenari selepas Khamal Idris memutuskan untuk mengundur diri selepas empat tahun meyandang jawatan sebagai CEO KDA FC.

Menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi media sosial rasmi KDA FC pada Khamis, Khamal Idris melepaskan jawatan itu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Dituduh makan duit kelab, anak kongsi Khamal Idris guna wang sendiri RM500,000 demi Kedah

BACA LAGI: Legenda 'double treble' & ex bos besar TFC calon heavyweight CEO baharu Kedah

"Lembaga Pengarah Kedah Darul Aman FC pada hari ini memutuskan bagi tujuan melancarkan pentadbiran dan urusan semasa kelab, Ketua Pegawai Operasi, Teknikal & Pertandingan KDA FC, Shahrul Samsudin diamanahkan untuk memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC.

“Shahrul akan memangku jawatan tersebut sehingga satu tempoh lantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu diumumkan," memetik kenyataan rasmi kelab pada Jumaat.

Anak jati Kedah itu bukan nama asing dalam arena bola sepak negeri Jelapang Padi berkenaan susulan Shahrul adalah orang belakang tabir yang banyak mengeluarkan keringat demi kemajuan kelab berkenaan.

Malah, Shahrul juga pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada 2019. Oleh itu, ramai penyokong beranggapan dia merupakan individu sesuai menggantikan Khamal Idris.

Sekiranya, Shahrul berhasil melaksanakan kerja sebagai pemangku CEO dengan baik, ahli Lembaga Pengarah KDA FC berkemungkinan tidak lagi perlu mencari individu lain untuk menggantikan Khamal Idris.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram