NAMA pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi terus menjadi sebutan penyokong tanah air terutamanya dalam kalangan peminat Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Ia susulan apabila Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don itu dijangka akan kembali mewarnai kem Sang Kenari selepas lima tahun meninggalkan kelab tersebut.
Beraksi bersama KDA FC, Mat Don antara watak penting yang membantu Sang Kenari menjuarai Liga Perdana dan Piala Malaysia suatu ketika dulu.
Meskipun begitu, kehadiran pemain berketinggian 1.92 meter itu ke kelab Utara tanah air nampaknya menerima pelbagai respons.
Ada yang merestui kehadirannya malah ada juga yang kurang bersetuju dengan khabar gembira itu.
Kurang sengat di depan pintu gol dan faktor umur antara sebab segelintir penyokong Hijau Kuning tidak merestui kemasukan pemain berusia 32 tahun itu.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain tempatan yang dijangka berpotensi untuk mencuri hati Nafuzi Zain sebelum jendela perpindahan ditutup.
BACA LAGI: Lambat kongsi perkembangan pramusim, Sabah FC harap fans dapat tahan sabar
Syazwan Zainon antara watak penting yang pernah membantu skuad Hijau Kuning. — Agensi
1. Syazwan Zainon
Bekas kapten Sang Kenari, Syazwan Zainon antara watak penting yang pernah membantu skuad Hijau Kuning beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim 2022.
Beraksi di posisi sayap, Syazwan membantu KDA FC muncul juara Kumpulan G Piala AFC di Denpasar, Bali, Indonesia.
Sekiranya Nafuzi Zain merekrut Syazwan yang berstatus sebagai ejen bebas musim ini, sudah pasti kejayaan ketika Piala AFC 2022 berulang semula di bumi Kedah.
Pastinya pengalaman bersama Hijau Kuning itu boleh membawa KDA FC menjadi pasukan yang digeruni menjelang kempen Liga M nanti.
Hafiz mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan kembali rentak sekiranya dipilih menjadi anak buah Nafuzi Zain. — Agensi
2. Hafiz Ramdan
Bekas pemain tengah Perak FC, Hafiz Ramdan antara nama yang disebut-sebut sesuai mengisi posisi Mat Don.
Hafiz menjadi salah satu pemain yang dikenali selepas menampilkan prestasi cemerlang bersama PKNP atau yang kini lebih dikenali sebagai Perak II ketika musim 2018.
Hafiz yang turut dilantik sebagai ketua pasukan membantu PKNP menamatkan saingan Liga Super musim 2018 di tangga ke-9 sekali gus mengelak tersingkir ke saingan Liga Perdana.
Sekiranya Hafiz diberi peluang untuk beraksi di bawah Nafuzi Zain, pastinya dia mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan kembali rentak dan menjadi antara pemain sayap terbaik dalam Liga Malaysia.
Saiful Ridzuwan mempunyai kemahiran untuk membaca permainan yang baik. — Agensi
BACA LAGI: Ismaheel ikut langkah 3 import Liga M pelajari budaya tanah air
3. Saiful Ridzuwan Selamat
Saiful Ridzuwan Selamat yang kini berstatus sebagai ejen bebas dilihat boleh kembali menikmati karier bola sepak.
Bukan itu sahaja, Saiful Ridzuwan pernah dibimbing Datuk Ong Kim Swee ketika menyarung jersi Harimau Muda A suatu ketika dahulu sebelum berhijrah ke Selangor (2015-2018).
Meskipun memiliki sosok tubuh kecil, Saiful Ridzuwan memiliki kemahiran dalam membentuk gaya permainan yang lebih melindungi bola dan pembacaan permainan dengan baik.
Pemain berketinggian 1.68 meter itu antara calon yang sesuai untuk mengisi posisi Mat Don kerana faktor kecergasan dan minit permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram