'Senyuman ikhlas si bongsu tanda kekuatan walaupun kesakitan', antara titipan buat 2 beradik mangsa dera


  • Massa
  • Ahad, 07 Apr 2024

Keadaan terkini adik-beradik yang menjadi mangsa dera pasangan suami isteri di Keningau, Sabah. — Facebook/Kathleen Durcey

BARU-BARU ini rakyat Malaysia digemparkan dengan penahanan sepasang suami isteri di Keningau, Sabah selepas disyaki mendera dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan 13 tahun sejak bulan lalu.

Kedua-dua mangsa dipercayai didera menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas hingga menyebabkan badan mengalami luka dan melecur.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kejadian itu disedari oleh seorang lelaki berusia 27 tahun ketika didatangi mangsa berusia 13 tahun yang menjual burger di sebuah premis di daerah tersebut pada pukul 12 tengah hari, 2 Mac lalu.

Hati mana tidak tersentuh mengenangkan penderitaan dialami anak-anak tidak berdosa itu.

Bayangkan, individu yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga dan memberikan perlindungan malah tergamak menyeksa mereka.

Sejak kedua-dua mangsa dimasukkan ke hospital, tidak putus-putus doa dan bantuan yang dititipkan orang ramai buat mereka.

BACA LAGI: Ibu bapa durjana ditahan dera 2 anak guna seterika, air panas sehingga melecur di Keningau

WhatsApp Image 2024-04-07 at 11.32.46 (2)

Kedua-dua beradik itu tidak putus-putus menerima bantuan daripada orang ramai. — Facebook/Kathleen Durcey

BACA LAGI: [VIDEO] Dah anggap macam keluarga, instafamous terkejut tengok CCTV anak kena dera pengasuh

Antaranya, seorang pengguna Facebook, Kathleen Durcey berkata, dia dimaklumkan jururawat yang menjaga mereka bahawa ramai insan yang bermurah hati menghulurkan makanan kepada mereka.

Malah, dia dan rakan-rakan dengan bantuan beberapa individu di Keningau berusaha untuk memberikan barangan keperluan seperti baju dan selipar bagi meringankan beban mangsa selepas keluar hospital.

"Kawan saya mencadangkan seorang runner wanita (dikenali sebagai) Wilmie Well LadyRunner.

"Murah rezeki anak-anak ini, terima kasih Wilmie, kau tidak minta upah pun, saya sangat terharu.

"Habis masa dia setengah hari buat benda yang kami minta, dengan kesesakan di jalan...masuk dan keluar kedai, dia ketepikan urusannya mencari rezeki untuk hari ini," katanya.

WhatsApp Image 2024-04-07 at 11.33.23 (1)

Tangkap layar memaparkan perbualan Kathleen dengan Wilmie Well. — Facebook/Kathleen Durcey

Kathleen mengakui dirinya tiada daya untuk memadamkan trauma anak-anak tersebut, melainkan usaha dan doa yang ikhlas agar senyuman mereka dapat dikembalikan.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Wilmie Well LadyRunner yang juga merupakan individu yang membantu Kathleen berkata, meskipun tiada pertalian darah, dia berasa amat bertuah diberi kesempatan bertemu dengan dua beradik tersebut.

"Perkara yang membuatkan saya sebak ialah senyuman manis si kecil.

"Apa yang bermain dalam fikiran saya kekuatan si bongsu yang masih lagi boleh tersenyum ikhlas walaupun berada dalam kesakitan.

"Saya sendiri boleh terbayang kesakitan yang mereka rasa bila kena dera. Semoga mereka menjadi anak yang hebat dan berjaya suatu hari nanti," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram