LEBIH 350 rakan strategik terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta dan pemimpin masyarakat, termasuk 1,100 koordinator rentas agensi terlibat dalam Program Social Synergy anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga kini.
Program diperkenalkan pada tahun 2017 itu merupakan inisiatif PERKESO dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial yang sistematik, komprehensif, holistik dan end-to-end solution melalui kolaborasi pelbagai rakan strategik di negara ini.
Ia juga bertujuan memastikan seluruh rakyat menerima hak perlindungan keselamatan sosial selayaknya bagi meningkatkan taraf hidup individu dan keluarga.
Ketua Cawangan Skuad Prihatin Sosial Sinergi PERKESO, Rosmasita Mohamed berkata, Program Social Synergy yang dibina dengan mengadaptasi model keselamatan sosial dari negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat mengasimilasikan tiga kategori keselamatan sosial iaitu Bantuan Sosial, Insurans Sosial dan Intervensi Pasaran Buruh.
Menurutnya, formula terbaik itu adalah untuk meningkatkan pendapatan sara hidup dan mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia.
“Dengan adanya program ini, ia dapat mewujudkan satu platform keselamatan sosial secara berpusat, sistematik dan komprehensif untuk rakyat.
“Dalam masa sama, ia juga berupaya melahirkan pengamal keselamatan sosial yang kompeten sehingga mampu membentuk komuniti keselamatan sosial unggul,” katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Pusat rehab PERKESO bertaraf dunia, ini apa yang anda perlu tahu tentang PRPTAR
Antara rakan strategik yang terlibat dalam Program Social Synergy. — PERKESO
BACA LAGI: Ditimpa kemalangan ketika urus keluarga, suri rumah juga terima perlindungan PERKESO
Mengulas lanjut, Rosmasita berkata, program tersebut juga dibangunkan untuk meningkatkan sosioekonomi keluarga di negara ini.
Ujar beliau, ia menggunakan format kolaborasi fleksibel bagi memastikan semua agensi memberikan komitmen tinggi untuk membantu masyarakat tempatan.
“Program berkenaan terbahagi kepada lima bahagian iaitu kewangan, pendidikan dan latihan; faedah, perlindungan dan wakalah; perubatan dan kesihatan serta pekerjaan dan perniagaan.
“Setakat ini, Program Social Synergy merekodkan bantuan kepada lebih 10,000 prospek melibatkan lebih 26,000 penyaluran rentas agensi di seluruh negara.
"Ia turut diselaraskan di peringkat kerajaan dan dalam rangka kerja bagi membantu menoktahkan kemiskinan di negara ini," maklumnya.
Skuad PERKESO Prihatin
Program tersebut dibangunkan untuk meningkatkan sosioekonomi keluarga di negara ini. — PERKESO
Selain Program Social Synergy, PERKESO turut memperkenalkan strategi penjenamaan baharu melalui penubuhan Skuad PERKESO Prihatin pada tahun 2016.
Skuad berkenaan berperanan sebagai wadah aspirasi yang prihatin bagi melaksanakan sebuah langkah proaktif untuk mengesan, menjejak dan melaksanakan pemprosesan faedah segera melalui pelbagai saluran seperti media cetak, elektronik dan sosial.
Mengulas mengenai Skuad PERKESO Prihatin pula, Rosmasita memberitahu, inisiatif tersebut diilhamkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed sebagai usaha menyediakan perkhidmatan melangkaui jangkaan pelanggan.
"PERKESO sentiasa bersedia bertindak selaku agensi peneraju keselamatan sosial yang dinamik, komprehensif dan unggul di negara ini," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram