[VIDEO] Lelaki didakwa langgar lari 2 beradik di Kuala Kangsar ditahan polis


  • Tular
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Gambar pemandu dan kenderaan yang dipercayai melanggar lari dua beradik hingga maut di Kuala Kangsar, Perak pada Jumaat.

POLIS berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kemalangan langgar lari di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Kuala Kangsar, Perak pada Jumaat.

Kejadian di persimpangan Taman Desa Salak pada pukul 7.12 pagi itu mengorbankan Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, di lokasi kejadian.

Kedua-dua mangsa difahamkan dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar menghala ke Ipoh memasuki simpang sebelah kanan menghala ke Taman Desa Salak secara mengejut.

Tindakan cuai pemandu itu menyebabkan kenderaannya berlanggar dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

BACA LAGI: Dua beradik maut hari terakhir sekolah sebelum cuti raya kemalangan langgar lari di Kuala Kangsar

BACA LAGI: Ibu bapa durjana ditahan dera 2 anak guna seterika, air panas sehingga melecur di Keningau

Menerusi maklumat awal dikongsikan orang awam, kenderaan terlibat itu melarikan diri dari lokasi sejurus selepas kemalangan.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Melalui gambar yang tersebar di media sosial, kedua-dua beradik yang maut itu juga dilihat terbaring di tengah-tengah jalan dan sudah ditutupi kain putih.

Kedua-dua mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian. — Facebook

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dilaporkan berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak di sebuah kebun pada pukul 1.20 petang.

Menurutnya, ujian saringan air kencing dijalankan ke atas suspek yang merupakan seorang kontraktor, namun keputusannya adalah negatif.

“Sampel darah suspek juga diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi siasatan lanjut.

“Kita turut merampas kenderaan yang digunakan suspek sewaktu kejadian,” katanya.

WhatsApp Image 2024-04-05 at 20.42.07

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan menuju ke SMK Simpang Beluru. — Orang awam

Menurut Mohd Khaizam, permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan ‘polytrauma with suspected neck injury/ cervical fracture’,” ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram