Ibu bapa durjana ditahan dera 2 anak guna seterika, air panas sehingga melecur di Keningau


  • 112
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Remaja lelaki tersebut dipercayai didera menggunakan seterika sekurang-kurangnya empat kali pada perut dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering. — PDRM

POLIS menahan sepasang suami isteri selepas disyaki mendera dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan 13 tahun, sejak bulan lalu di Keningau, Sabah.

Kedua-dua mangsa didakwa didera menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas hingga menyebabkan badan luka dan melecur.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kejadian itu disedari oleh seorang lelaki berusia 27 tahun ketika didatangi mangsa berusia 13 tahun yang menjual burger di sebuah premis di daerah tersebut pada pukul 12 tengah hari, 2 Mac lalu.

Menurutnya, lelaki itu membuat laporan polis selepas melihat gambar mangsa dengan kesan luka terbakar.

"Kedua-dua suspek suami isteri berusia 27 dan 36 tahun ditahan di rumah sewa mereka di pekan Keningau, petang Khamis.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah peniaga burger," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Beri sedekah al-Quran bukan lakonan — Sunny

Tambah beliau lagi, siasatan lanjut turut mendapati seorang lagi mangsa lelaki berusia lima tahun turut didera oleh kedua-dua suspek.

"Mangsa berusia 13 tahun itu adalah anak tiri kepada suspek wanita.

"Wanita itu berkahwin dengan bapa remaja itu, tetapi apabila suaminya dipenjarakan kerana penyalahgunaan dadah, budak lelaki itu terus berada di bawah jagaannya.

"Manakala mangsa berusia lima tahun adalah anak angkat kedua-dua suspek selepas mereka berkahwin," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Niat mungkin baik tapi cara tak kena', mufti ulas isu Datuk Seri Sunny edar al-Quran

Yampil berkata, siasatan mendapati kejadian dera itu dipercayai berlaku di rumah sewa suspek antara 24 Mac 2024 hingga 30 Mac 2024.

"Remaja lelaki tersebut dipercayai didera menggunakan seterika sekurang-kurangnya empat kali pada perut dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering.

"Selain itu, mangsa turut dipukul menggunakan kayu dan batang besi pada belakang badan manakala mangsa berusia lima tahun disiram menggunakan air panas di atas lantai.

"Mangsa juga dipaksa berdiri di atas air panas hingga kedua-dua kakinya melecur.

"Mangsa turut ditekap dengan seterika oleh suspek wanita pada bahagian kiri dan kanan tangan serta belakang badan hanya kerana lambat membuka lampin pakai buang ketika bangun tidur," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek juga didapati mempunyai kes jenayah lampau berkait dadah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram