NIAT baik seorang lelaki bertukar padah selepas ditembak ketika cuba meleraikan satu pergaduhan melibatkan sekumpulan individu.
Kejadian tersebut berlaku di pusat snuker sebuah gudang di bandar Curuguaty, Paraguay, Amerika Selatan kira-kira pukul 1.54 pagi pada 25 Mac lalu.
Insiden ngeri itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan sebelum dikongsikan di media sosial pada Jumaat.
Kejadian bermula apabila berlaku ketegangan melibatkan sekumpulan lelaki yang sedang bermain snuker, namun punca sebenar pertengkaran masih belum dapat dipastikan.
Mangsa, Sergio Caceres Rodriguez, 41, dilihat cuba meleraikan pergaduhan tersebut sebelum seorang lelaki melepaskan berdas-das tembakan di kepalanya menggunakan senjata api secara tiba-tiba.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki didakwa langgar lari 2 beradik di Kuala Kangsar ditahan polis
BACA LAGI: [VIDEO] Mahasiswi alami gegaran otak terkena serpihan Superstar Ride di 'fun fair'
Melihat keadaan Sergio yang sudah terbaring, suspek, Walter Franco Agrial dan beberapa lelaki lain bertindak melarikan diri menaiki kenderaan jenis Volkswagen menuju ke dalam hutan.
Mangsa dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya, namun gagal untuk diselamatkan.
Menurut laporan media antarabangsa, Walter Franco sudah ditahan polis dan siasatan mendapati dia juga merupakan suspek bagi satu lagi kes pembunuhan di lokasi berbeza.
Berdasarkan siasatan awal, pihak berkuasa mendapati suspek merupakan abang kepada ahli majlis Villa Ygatimi, Gustavo Franco Agrial, iaitu sebuah bandar di Paraguay yang dibangunkan pada tahun 1715. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram