Lebih 1.9 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya KLK sempena Aidilfitri


  • Massa
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Kedua-dua Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong dijangka mengalami kepadatan trafik yang tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

LEBIH 1.9 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya KL-Karak (KLK) manakala 882,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), bagi tempoh 11 hari bermula Jumaat.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Datin Radzimah Mohd Radzi berkata, peningkatan jumlah kenderaan di KLK melebihi 60 peratus, sementara di LPT1 melibatkan peningkatan melebihi 100 peratus semasa hari puncak cuti hari raya, berbanding purata trafik harian.

"Dijangka kedua-dua Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong akan mengalami kepadatan trafik yang tinggi, begitu juga di Lebuhraya LPT1, iaitu di Plaza Tol Karak.

"ANIH Berhad mengambil langkah proaktif dengan menyusun rancangan operasi yang strategik demi memastikan kelancaran lalu lintas, terutamanya di zon yang menjadi tumpuan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Radzimah berkata, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) bagi tempoh 6 hingga 7 April dan 13 hingga 14 April telah dimuat naik di saluran media sosial serta laman sesawang ANIH Berhad.

Ujarnya, ia sebagai persiapan dan panduan pengguna lebuh raya untuk pulang ke kampung atau bercuti sempena Aidilfitri.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki didakwa langgar lari 2 beradik di Kuala Kangsar ditahan polis

WhatsApp Image 2024-04-05 at 21.18.08

Pengguna lebuh raya diingatkan supaya memberi keutamaan kepada keselamatan dan pemanduan yang berhemah. — Agensi

BACA LAGI: Dua beradik maut hari terakhir sekolah sebelum cuti raya kemalangan langgar lari di Kuala Kangsar

Beliau turut memaklumkan, beberapa langkah diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna, antaranya penambahan kakitangan 23 peratus, iaitu lebih 400 kakitangan tol akan bertugas pada waktu puncak serta pengaktifan lorong tol tambahan.

"Bagi mengoptimumkan pengurusan trafik di plaza tol, Kawasan Rehat & Rawat (R&R) dan hentian sebelah, seramai 217 ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di kawasan strategik terutamanya pada waktu puncak.

"Selain penambahan 147 kakitangan bahagian trafik bagi pemantauan, rondaan, bantuan kecemasan dan kemalangan kepada pengguna lebuh raya," katanya.

Radzimah berkata, ANIH Berhad juga melaksanakan lane channelisation di Plaza Tol Gombak arah Barat untuk perjalanan ke Kuala Lumpur, bertujuan untuk menyuraikan trafik dan mengelakkan kesesakan bagi pengguna yang menuju ke arah Ampang dan Batu Caves.

"Pengguna lebuh raya diingatkan supaya memberi keutamaan kepada keselamatan dan mengamalkan pemanduan yang berhemah. Gunakan Kawasan R&R atau hentian sebelah jika perlu.

"Patuhi tanda jalan, had laju dan arahan daripada petugas lebuh raya. Pastikan juga baki e-dompet dan kad Touch & Go sentiasa mencukupi. Rancanglah perjalanan sebaik mungkin demi keselesaan dan keselamatan semua,” maklumnya.

Pengguna boleh mendapatkan informasi terkini menerusi media sosial ANIH Berhad di Facebook @Lebuhraya Pantai Timur dan X @LPTTrafik, serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) @llmtrafik dan sekiranya berlaku kecemasan, boleh hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau talian LLM di 1800-88-7752. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram