BELUM lagi reda isu stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual di rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Selangor, timbul satu lagi dakwaan kes sama melibatkan sebuah jenama kasut tempatan.
Menerusi satu video yang dimuat naik pengguna Facebook dengan nama akaun Mohd Haridz, dia mengakui terkejut selepas mendapati tapak kasut milik isterinya yang dibeli pada Sabtu lalu didakwa mempunyai kalimah ALLAH.
Difahamkan, kasut berharga RM100 itu dibeli di rangkaian butik jenama berkenaan yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Pahang.
"Saya (ingin) berkongsi dengan kalian, berita yang membuatkan kita marah. Pada 30 Mac lalu, saya membeli-belah dengan isteri sempena raya.
"Saya masuk kedai (jenama) V****, isteri saya berminat dengan satu kasut. Lepas beli, saya terus letak dalam bilik, tak buka-buka.
"Hari ini saya tergerak hati nak tengok, tapi bila saya semak, V**** keluarkan kasut kalimah ALLAH. Nampak tak betapa kurang ajarnya mereka.
"Pada mata aku memang jelas sangat kalimah ALLAH itu. Kenapa? Benda ini sudah jadi satu trend atau bagaimana ya?" soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
BACA LAGI: Pengasas KK Super Mart mohon maaf kepada Agong, umat Islam
BACA LAGI: [VIDEO] Dah anggap macam keluarga, instafamous terkejut tengok CCTV anak kena dera pengasuh
Individu tersebut turut mempersoalkan motif pengeluaran rekaan kasut yang seolah-olah tidak menghormati agama Islam.
Dalam pada itu katanya, setelah disemak di media sosial, pasangan suami isteri tersebut turut mendapati terdapat pengguna lain yang memuat naik video di aplikasi TikTok mengenai kasut jenama yang sama.
"Esok saya nak pergi semula kedai tersebut dan tanya mereka.
"Saya jadi marah sebab ini kalimah ALLAH kot, letak di tapak kaki (pula).
"Kalian yang nak beli kasut di butik jenama ini, lebih baik semak dahulu dan pastikan tiada logo ini," ujarnya.
Pihak Majoriti sedang cuba menghubungi wakil daripada jenama berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram