Peperiksaan Cambridge English perlu menepati standard silibus tempatan


  • Massa
  • Selasa, 02 Apr 2024

Rancangan Kerajaan Sarawak bagi memperkenalkan peperiksaan Cambridge English adalah satu idea yang bernas bagi mempertingkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan anak muda. — Gambar Hiasan

DESAS-desus rancangan Kerajaan Sarawak bagi memperkenalkan peperiksaan Cambridge English mulai tahun 2026 bagi murid darjah 6 mendapat respons yang positif dalam kalangan rakyatnya.

Memetik laporan media tempatan, difahamkan kertas soalan itu akan dikeluarkan di England dan dihantar ke sana untuk disemak dan dinilai oleh pakar pendidikan.

Manakala kos penilaian bermula 8 dolar (RM37.44) akan ditaja oleh kerajaan Sarawak sepenuhnya.

Pada masa sama, kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang dilaporkan berkata, cadangan pelan penilaian itu adalah sebagai tambahan kepada inisiatif kerajaan Sarawak untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma di semua universiti dan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri mulai 2026 menguatkan lagi khabar angin tersebut.

"Kami (kerajaan negeri) juga sedang mempertimbangkan sukatan pelajaran Cambridge (untuk ujian)," katanya.

Hasil pemerhatian Majoriti dalam media sosial, rata-rata ibu bapa bersetuju dan berharap agar kerajaan dapat merealisasikan sistem pendidikan tersebut namun haruslah bersyarat.

BACA LAGI : Penduduk lebih 30,000 tapi 5 daerah di Sarawak tiada hospital

Dani Din berkata, rancangan kerajaan negeri itu adalah satu idea yang bernas bagi mempertingkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan anak muda tetapi silibusnya haruslah menepati standard murid itu sendiri.

"Jika kertas diambil 100% dari United Kingdom (UK), ia adalah satu tindakan yang kurang bijak. Sebaliknya soalan itu harus sesuai dengan latar belakang pendidikan tempatan," tulisnya.

Seorang lagi warga maya, Pengajar Jepp pula berharap agar pihak kerajaan negeri dapat menyediakan jumlah tenaga pengajar yang mencukupi apabila program itu dilaksanakan.

"Program yang baik tetapi sebelum dilaksanakan, pastikan setiap sekolah menerima jumlah guru yang mencukupi terutama subjek Bahasa Inggeris.

"Jangan buat buat program yang tiada hasil kerana guru atau sekolah yang kekurangan tenaga pengajar akan menerima padah," tulisnya.

BACA LAGI : Menteri Sarawak samakan daftar PADU ibarat 'telanjangkan diri', warganet jadi tambah keliru

Sementara itu, Robin Angau mencadangkan agar kerajaan negeri Sarawak memberi latihan dan menghantar anak tempatan yang bertugas sebagai guru ke United Kingdom untuk menimba ilmu.

"Hantar anak-nak Sarawak yang bertugas sebagai guru ke United Kingdom dan belajar selama dua tahun di sana. Dahulukan anak Sarawak supaya kita dapat selaraskan subjek tersebut dengan keperluan murid tempatan," cadangnya.

Untuk rekod, pada November tahun lalu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn, telah menyatakan bahawa cadangan penilaian standard untuk Darjah Enam di Sarawak dijangka akan dimulai pada tahun 2025.

Penilaian tersebut akan memberi tumpuan kepada mata pelajaran DLP seperti Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, Sagah menekankan bahawa masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut mengenai penilaian itu, kerana perbincangan masih dilakukan.

Perubahan dalam sistem penilaian ini berlaku selepas kerajaan pusat memansuhkan pentaksiran tingkatan 3 pada bulan Jun 2022, berikutan kesan pandemik Covd-19 yang menyebabkan ujian tersebut tidak dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021.

Selain itu, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk darjah enam juga dibatalkan pada tahun 2021.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram