DUA perkara utama yang selalu menjadi keutamaan pengguna setiap kali mencapai barangan di rak pasar raya atau kedai runcit ialah tanda harga dan label tarikh luput.
Tujuannya untuk mengetahui harga dan memastikan barangan yang ingin dibeli itu belum tamat tempoh.
Namun, dalam kesibukan harian ada pembeli yang terlepas pandang membeli makanan yang telah tamat tarikh luput selain ada yang didapati menjual barangan tidak mempunyai label seperti ditetapkan.
Walaupun ia jarang terjadi namun situasi ini boleh menyebabkan pembeli mengalami kerugian sekiranya barang atau produk dibeli dalam kuantiti yang banyak.
Lagi-lagi ketika ini yang menyaksikan umat Islam di negara ini sibuk membeli-belah barang keperluan asas untuk menyediakan persiapan menyambut kedatangan Syawal.
Pada Ahad lalu, seorang individu meminta pendapat para peguam berkenaan situasi yang dihadapinya berkenaan barang berupa dua paket bungkusan gula aising yang sudah tamat tarikh luput di laman Facebook Tanya Peguam.
"Nak mohon pandangan dan pendapat, apa tindakan yang boleh diambil kalau jadi seperti ini. Saya beli barang di sebuah pasar raya besar, dah balik baru perasan expired date (tarikh luput) seperti itu," tulisnya.
Individu berkenaan turut memuat naik satu video memaparkan dua paket gula aising yang mana tarikh luput sebenar produk berkenaan disembunyikan menerusi taktik tampalan yang meletakkan tarikh baru.
Melalui video yang dikongsikan tarikh asal paket barangan tersebut didapati tamat tempoh pada 31 Januari 2024 manakala tarikh baru yang ditampal ialah pada 31 Januari 2025.
Hantaran individu berkenaan mendapat pelbagai respons dalam kalangan warga maya dan peguam sendiri.
BACA LAGI: Buat untung atas angin, senang-senang upah melampau caj tukar duit raya RM10 setiap RM100
Seorang pengguna, Azim Muhamad berkongsi tip yang perlu dilakukan oleh individu berkenaan.
"Kadang-kadang ada produk yang masih boleh digunakan lagi walaupun telah tamat tarikh luput. Pengguna seharusnya mengenal pasti jenis produk tersebut sama ada ia boleh membawa risiko kesihatan yang lebih besar jika digunakan selepas tarikh luput, manakala produk lain mungkin masih boleh digunakan dengan selamat walaupun sudah luput.
"Sekiranya barang itu tidak selamat digunakan, pembeli boleh menghubungi penjual untuk memaklumkan tentang situasi tersebut. Beberapa penjual mungkin bersedia untuk menukar produk yang sudah luput dengan yang baru atau memberi ganti rugi yang sesuai," tulisnya.
Intan Haslina pula menasihatkan agar individu berkenaan pergi semula ke pasar raya tersebut dan memulangkan barangan yang dibeli.
"Pergi semula ke kedai tersebut dan bawa resit sebagai bukti. Minta berjumpa dengan pengurus pasar raya itu serta berbincang secara baik.
"Saya selalu kalau beli dan terjumpa barang yang sudah expired. Saya akan beritahu para pekerja di situ kerana tidak mahu pelanggan yang lain terbeli.
"Bimbang juga kalau ada yang buat aduan dan pekerja yang menjadi mangsa kerana kadang-kadang mereka terlepas pandang," tulisnya.
Pembeli berhak memulangkan barang atau produk yang dibeli sekiranya sudah tamat tarikh luput atau mengalami kerosakan. — Gambar Hiasan
Seorang lagi warga maya, Aidah Adam mencadangkan individu berkenaan untuk memeriksa nombor pengeluaran produk tersebut kerana tarikh tersebut berkemungkinan salah cetak.
"Kena periksa batch (set) nombor pada kilang. Mungkin juga tersalah cetak tarikh luput masa dihasilkan. Bukan sengaja nak tipu, tengok jenis tulisan pun sama itu.
"Secara teknikal saya rasa selamat digunakan sebab gula memang kita guna untuk pelihara makanan lain. Kecuali ada ketulan, bungkusan bocor, bendasing masuk ke dalam dan sebagainya,"katanya.
Sekiranya individu berkenaan masih gagal menukar produk atau tidak mendapat ganti rugi dari pasar raya berkenaan, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sebagai pengguna, individu tersebut berhak untuk menerima penghakiman yang adil, termasuk mendapat pampasan untuk pembelian atau servis tersebut memiliki unsur mengelirukan, kualiti barang yang rendah dan juga servis yang tidak memuaskan.
Tuntutan ini boleh dibuat melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia yang merupakan sebahagian dari KPDN.
Cara untuk membuat tuntutan dengan melayari laman web sistem e-Aduan: http://e-aduan.kpdn.gov.my atau menghubungi talian bebas tol di 1-800-886-800.
Menurut undang-undang, pengadu hanya dibenarkan untuk membuat tuntutan sehingga RM 25,000 sahaja. Wang tuntutan itu bukan dibayar oleh Tribunal, sebaliknya oleh pihak yang dituntut, atas arahan Tribunal.
Selain itu, pastikan juga anda simpan semua dokumen berkaitan dengan pembelian dan servis yang anda peroleh dari peniaga sebagai bukti. Antara dokumen yang boleh digunakan sebagai bukti ialah invois, resit, risalah iklan, barang yang rosak dan dokumen lain yang boleh menyokong tuntutan ganti rugi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram