Menteri Sarawak samakan daftar PADU ibarat 'telanjangkan diri', warganet jadi tambah keliru


  • Massa
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Tarikh pendaftaran bagi PADU akan tamat pada 31 Mac ini. — Gambar hiasan

SELEPAS lebih tiga bulan dilancarkan, inisiatif Pangkalan Data Utama (PADU) masih terus menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat.

Daripada isu kadar pendaftaran rendah sehingga kepada kebimbangan mengenai tahap keselamatan data dikawal selia di bawah sistem berkenaan, persoalan yang timbul bagaikan tidak berpenghujung meskipun tarikh tutup pendaftarannya berbaki lebih kurang seminggu.

Terbaharu, kegusaran mengenai pelaksanaan PADU itu turut ditimbulkan oleh seorang menteri Sarawak yang meminta kerajaan membuat beberapa perubahan berkait maklumat peribadi yang dikongsikan pengguna.

Malah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah turut mengibaratkan pendaftaran PADU ibarat 'menelanjangkan diri'.

Ia apabila rakyat perlu mendedahkan semua butiran peribadi, termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.

Menurut Abdul Karim, keraguan berhubung maklumat peribadi individu itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] AS dah keluar amaran 2 minggu awal, lebih 60 maut serangan kumpulan bersenjata, pakai baju celoreng di Moscow

State Youth and Sports Minister Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah speaking to reporters after chairing the Sarawak Youth Development Committee meeting in Kuching. — ZULAZHAR SHEBLEE

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pendirian itu tidak bermakna kerajaan Sarawak tidak menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan, sebaliknya hanya meminta penelitian semula diteliti kerana berpandangan terdapat maklumat peribadi yang tidak sepatutnya didedahkan.

Abdul Karim turut menyatakan bahawa PADU juga tidak harus dilaksanakan secara tergesa-gesa dan memaksa semua rakyat mendaftar.

"Jika PADU bertujuan membantu orang miskin, biarlah orang miskin mendaftar, bukannya mewajibkan semua orang mendaftar," katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Pendirian berani yang dikemukakan Abdul Karim ternyata mendapat reaksi agak positif dalam kalangan warganet yang rata-ratanya bersetuju dengan kebimbangan dibangkitkan itu.

Pada masa sama, terdapat juga segelintir yang berpendapat bahawa situasi itu menambahkan lagi kekeliruan orang ramai berhubung pelaksanaan PADU.

"Akhirnya, ada juga menteri yang berani bercakap jujur. Terbaik Menteri Sarawak," ujar Zahari Dats.

"Terbaik Sarawak. Kita tengok apa respons menteri bertanggungjawab gubal benda ni," tulis Encik Sobri.

"Kerajaan Persekutuan kata mesti isi untuk dapat subsidi mahupun bantuan, jangan menangis kalau tercicir bantuan. Kerajaan Sarawak pula kata jangan isi dahulu selepas tiga bulan PADU diluncurkan.

"Rakyat Sarawak khususnya di luar bandar mahupun pedalaman jadi keliru. Yang paling pasrah penjawat awam persekutuan macam admin dah dipaksa isi awal," kata Jenifer Lawrence.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini mengumumkan penyasaran semula subsidi nanti bakal menggunakan maklumat yang ada dalam sistem PADU.

Beliau dalam kenyataan terkininya pada 18 Mac lalu berkata, sebanyak 4,752 kawasan di Malaysia belum diliputi pendaftaran PADU dan berisiko keciciran bantuan kerajaan.

Mengulas mengenai kebimbangan berhubung keselamatan data digunakan dalam sistem PADU, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, rakyat tidak perlu gusar kerana ia dikawal selia oleh beberapa akta sedia ada.

BACA LAGI: Kate Middleton dedah hidap kanser, pemimpin dunia titip ucapan semangat

2470196

Kerajaan bakal membentangkan Akta Omnibus di Dewan Rakyat bagi membolehkan perkongsian data antara semua agensi kerajaan menerusi sistem PADU. — Gambar hiasan

Katanya, bagi memperkukuhkan perlindungan data peribadi individu, Akta Omnibus yang akan dibentangkan kerajaan juga mampu menghalang daripada ia disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Rafizi sebelum itu pada November lalu dilaporkan berkata, kerajaan akan membentangkan Akta Omnibus di Dewan Rakyat bagi membolehkan perkongsian data antara semua agensi kerajaan menerusi sistem PADU.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, sementara kerajaan mewujudkan Akta Omnibus, tindakan undang-undang masih tetap boleh dikenakan mengikut akta berkaitan kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan data.

Tarikh pendaftaran bagi PADU akan tamat pada 31 Mac ini.

Setakat Rabu lalu, seramai 6.34 juta atau 29 peratus daripada 30.08 juta rakyat sudah mengemas kini data dalam sistem berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram