[VIDEO] Canang hobi mahal, ramai geram tengok geng RXZ patah palang Smart Tag di Plaza Tol Segambut


  • Tular
  • Isnin, 01 Apr 2024

Tangkap layar sekumpulan penunggang motosikal yang mematahkan sebuah palang tol ketika berkonvoi di Plaza Tol Segambut, Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

ORANG awam menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas serta mengeluarkan saman terhadap tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang mematahkan sebuah palang tol ketika berkonvoi di Plaza Tol Segambut, Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Tindakan penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ itu juga berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam di lokasi kejadian dan dimuat naik semula di sosial media pada Isnin.

Melalui video berdurasi kurang seminit yang dikongsikan itu, 11 orang penunggang tersebut dilihat tidak menggunakan laluan motosikal yang disediakan di Lebuhraya DUKE berkenaan.

Mereka juga dilihat menunggang secara berbahaya dengan cara memotong kenderaan lain secara beriringan sebelum memasuki tol laluan Smart Tag.

Lebih menggeramkan lagi, mereka kemudiannya dilihat melanggar palang tol tersebut sehingga patah sebelum memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna maya mengecam tindakan penunggang motosikal berkenaan yang berlagak seperti samseng jalan raya dan telah merosakkan harta awam.

BACA LAGI: Buat untung atas angin, senang-senang upah melampau caj tukar duit raya RM10 setiap RM100

BACA LAGI: [VIDEO] Warga maya gesa Fahmi Fadzil ambil tindakan, sekat video 'Love Raya' Aliff Syukri perlekeh orang Melayu dan Islam

"Canang sana-sini hobi mahal tetapi otak tertinggal di rumah. Aku harap 'Geng RXZ' yang langgar palang tol ini baca," kata De Do.

Syafiq Ibrahim pula menggesa pihak polis agar mengambil tindakan segera terhadap kesemua penunggang motosikal tersebut.

"Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, sila ambil tindakan segera dan saman semua penunggang tersebut. Jangan ambil mudah perkara ini, berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," tulisnya.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd Nasrul turut bersetuju dengan cadangan Syafiq.

"Bukti rakaman dashcam sudah ada, harap pihak berkuasa keluarkan saman dan ambil tindakan tegas terhadap geng RXZ ini.

"Patut ada saman khas untuk penunggang yang berlagak samseng seperti ini. Aku doakan semuanya masuk lokap masa Raya Aidilfitri, biar insaf," katanya.

Untuk makluman, pelaku yang melakukan pencerobohan tol dan mengelak daripada membayar tol boleh didakwa bawah Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan 1984 (Pengurusan Persendirian), yang akan mengenakan hukuman denda antara RM2,000 dan RM5,000 jika disabitkan kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram