Bukan lagi 90km/j, had laju Jalan Persekutuan dikurangkan 80km/j sempena Aidilfitri


  • Primer
  • Selasa, 02 Apr 2024

Pengurangan had laju akan dilaksanakan di semua Jalan Persekutuan di Malaysia, daripada 90 km/j kepada 80 km/j, berkuat kuasa 8 April hingga 14 April ini. — Twitter/JKR Hulu Selangor

PENGURANGAN had laju akan dilaksanakan di semua Jalan Persekutuan di Malaysia, daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j, berkuat kuasa 8 April hingga 14 April ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, pewartaan pengurangan had laju itu ditetapkan sepanjang Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang diadakan dalam tempoh berkenaan, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

BACA LAGI: Tabung Haji umum 3.10 peratus agihan keuntungan 2023

Katanya, pengurangan sementara had laju selama seminggu ini merupakan antara langkah-langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya berdasarkan data sejarah kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

"KKR juga memaklumkan kepada pihak konsesi Jalan Persekutuan untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal mulai 5 hingga 14 April 2024 supaya tidak mengganggu aliran trafik kecuali kerja-kerja menampal lubang, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: 'Automatik mengalir air mata,' isu rumah terbengkalai buat pembeli sedih ditanya tentang status

Tambah KKR lagi, bagi lebuh raya pula, syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula dari 1 hingga 17 April 2024.

"Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR serta pendekatan seluruh rakyat dan negara (whole nation approach) untuk semua pihak termasuk rakyat bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutamanya di Jalan Persekutuan," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram