'Mungkin rindu nasi dagang', usia tak tutup pintu kepulangan Lee Tuck ke Terengganu


  • Podium
  • Selasa, 27 Feb 2024

Lee Tuck menikmati tiga musim yang cukup membanggakan bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

ARENA bola sepak tempatan hari ini digemparkan dengan kenyataan bekas pemain kebangsaan, Lee Tuck yang terbuka untuk kembali mewarnai saingan Liga Super.

Pemain yang sebelum ini menyepi setelah pulang ke negara kelahirannya itu mendedahkan bahawa dia berminat dengan hal itu sekiranya diberikan peluang dan tawaran berpatutan.

Malah, Lee Tuck juga seperti sudah mempunyai destinasi tersendiri apabila dia mengatakan kelab terdahulunya, Terengganu FC kerana pelbagai memori indah direkodkannya ketika bersama pasukan itu.

Ia pasti mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penyokong Sang Penyu yang gusar akan kemampuannya kerana sudah lebih setahun tidak beraksi secara kompetitif.

Selain itu, usia bintang kelahiran Halifax, England tersebut yang sudah mencecah 35 tahun juga menjadi isu dibangkitkan dengan Terengganu FC semakin bercita-cita besar musim depan.

BACA LAGI: Sertai acara sukan lasak sebagai rakyat Britain, ramai persoal status IC Malaysia Lee Tuck

2346902-768x768

Lee Tuck kini merupakan seorang ejen hartanah berjaya di England. Instagram/Lee Tuck

Namun, pandangan berkenaan tidak dirasai majoriti penyokong kelab Pantai Timur terbabit yang masih percaya akan kualiti dimiliki pemain tengah itu.

"Aku setuju sangat jika Lee Tuck kembali ke Terengganu kerana dia memang rajin berlari sepanjang permainan. Mungkin dia rindu nasi dagang dan keropok lekor juga," ujar Kerbau Pokleh.

"Dia pun masih boleh bermain dengan baik. Lagipun, dia sudah menjadi pemain tempatan (secara naturalisasi), bukannya pemain import," ujar Syam Sul.

"Pemain lokal, bolehlah diusahakan untuk dapatkan semula. Mungkin bini dan anak-anaknya masih rindukan rumah lama," kata Kamarudin Hamzah.

Lee Tuck menyarung jersi skuad Sang Penyu bermula 2018 sehingga 2020 dengan peranannya cukup penting dalam menjadikan pasukan itu sebagai pencabar utama Liga Super pada tempoh tersebut.

BACA LAGI: 'Hanya FAM dan JPN boleh jawab', fans desak FAM tangani isu status kerakyatan Lee Tuck

2226716

Lee Tuck pernah diturunkan sebanyak sembilan kali bersama Harimau Malaya. Facebook/FAM

Selain pernah beraksi buat Terengganu FC, beberapa kelab tempatan lain juga pernah disertainya, termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Di samping itu, pemain yang sinonim dengan panggilan 'Rooney Ganu' tersebut turut memiliki pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan setelah menerima status naturalisasi pada 2022.

Untuk rekod, Lee Tuck merekodkan tiga gol dalam sembilan penampilan buat Harimau Malaya serta menjadi watak penting ketika pasukan negara mara ke separuh akhir Piala AFF 2022.

Dia kini difahamkan bergelar ahli perniagaan dalam bidang hartanah di England yang mendesaknya untuk pulang, sekali gus melupakan karier bola sepaknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram