CABARAN untuk musim baharu Liga Super masih belum bermula, namun begitu sudah mula keluar pelbagai cerita tidak enak oleh penyokong.
Lupakan isu gaji, fokus kali ini adalah tertumpu kepada masalah kurangnya profesionalisme dalam kalangan kelab di negara kita terutamanya dalam penjagaan identiti dan penjenamaan (branding) pasukan.
Kesilapan yang dilakukan oleh mereka ini mungkin kecil, tetapi sebenarnya memberi kesan kepada identiti serta kredibiliti mereka sebagai sebuah kelab profesional.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan rungkai kesilapan yang dilakukan oleh kelab Liga Super yang tak sepatutnya dilakukan oleh pasukan profesional:
Pemain 'tak hormat' kelab
Perbuatan yang dilakukan oleh pemain mungkin kelihatan kecil, tetapi sebenarnya ia memberikan impak kepada pandangan orang luar tentang bagaimana sesebuah kelab itu diuruskan.
Sebelum ini, kita mendapati terdapat segelintir pemain Sri Pahang FC hadir ke sesi latihan sambil menyarung jersi kelab luar dan bukannya pakaian rasmi kelab. Lebih memeritkan, gambar itu dimuat naik sendiri oleh media rasmi kelab.
Selepas itu, timbul pula gambar pemain Selangor FC melakukan perkara sama ketika menjadi wakil kelab dalam sebuah acara di Kuala Selangor. Gambarnya juga tersebar oleh media rasmi kelab.
Tindakan tersebut seolah-olah tidak mennghormati kelab yang mereka wakili sekarang. Sebagai pemain, mereka adalah duta kelab dan perlu menjadi teladan yang baik supaya penyokong akan turut sama mengenakan jersi kelab pada badan mereka.
Bukanlah perlu 24 jam menyarung jersi kelab, tetapi pada waktu-waktu diperlukan seperti sesi latihan serta bertemu penyokong dalam acara di tempat awam, pemain mesti mengenakannya demi menonjolkan identiti pasukan diwakili.
BACA LAGI: Pakai jersi MU, ‘ubi muda’ Selangor dikecam tak hormat kelab sendiri
Gambar pemain Sri Pahang mengenakan jersi kelab lain di ketika ke sesi latihan dimuat naik oleh media rasmi kelab itu. — Facebook/Sri Pahang FC
Kenapa nak promosikan kelab lain?
Satu perkara yang kelab di Malaysia kurang ambil berat adalah apabila mereka memuat naik foto di media sosial sering terlepas beberapa gambar yang mempunyai seteru Liga Super mereka.
Sebagai contoh, ketika Terengganu FC memuat naik gambar-gambar penyokong yang hadir ke padang latihan untuk menyaksikan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid berlatih, terdapat seorang hadirin yang memakai jersi Johor Darul Ta'zim (JDT).
Apa yang menariknya, media sosial Terengganu terlalu fokus meletakkan gambar pemuda tersebut hinggakan ada beberapa gambar yang berkisarkan dia saja. Dalam konteks bola sepak moden, tindakan tersebut seolah-olah Terengganu memberikan promosi percuma kepada JDT.
Sebagai media rasmi kelab, sepatutnya mereka hanya tumpukan kepada penyokong Terengganu. Jika laman yang neutral seperti Malaysian Football League (MFL) atau mana-mana portal berita, ia tidak menjadi isu untuk berbuat seperti Terengganu lakukan.
BACA LAGI: Terima undian 85 peratus, gol Faisal diiktiraf GOTT Piala Asia 2023
Gambar penyokong JDT di sesi latihan Terengganu tidak sepatutnya dimuatnaik oleh media rasmi kelab. — Facebook/Terengganu FC
Perbuatan kecil, impak besar
Tindakan yang dinyatakan di atas semuanya mungkin nampak kecil tetapi sebenarnya impaknya besar kepada identiti sesebuah kelab.
Ia akan menggambarkan sesebuah kelab itu tidak mempunyai identiti kuat kerana pemain dan pekerja sendiri boleh bertindak sambil lewa dan mencalar maruah kelab dalam diam.
Di Eropah, tindakan sebegini amatlah ditegah. Jika satu-satu pemain dikesan melakukan tindakan sebegini, mereka akan didenda oleh pihak kelab sama ada dalam bentuk wang ada cara lain.
Dalam bola sepak, nilai profesional dan sentimental itu hanya dipisahkan oleh satu garis halus dan kedua-duanya bergerak seiring. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram