Tchetche Kipre, ex-JDT dikesan luang masa di Kuching, sudah pilih The Cats destinasi musim depan?


  • Podium
  • Isnin, 26 Feb 2024

Di bawah kendalian Aidil Sharin, skuad The Cats mempunyai haluan lebih meyakinkan dan difahamkan akan tampil lebih garang dengan memasukkan beberapa wajah baharu pada musim depan. — Facebook/KuchingCity

PERKEMBANGAN persiapan Kuching City FC bagi saingan musim baharu ini muncul dengan episod terkini apabila ada penyokong mendakwa melihat kelibat beberapa bintang di ibu negeri Sarawak itu.

Bintang bola sepak yang dimaksudkan ialah bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri; pemain import berpengalaman, Tchetche Kipre dan penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani.

Kelibat tiga pemain itu mula tersebar apabila seorang penyokong The Cats berkongsi tangkap layar perbualannya bersama rakannya yang mendakwa melihat mereka di Bandaraya Kuching.

Namun, sehingga kini, perkara berkenaan tidak dapat dipastikan sama ada sekadar bercuti ataupun sememangnya terdapat perbincangan mengenai perpindahan ke skuad The Cats pada musim depan.

BACA LAGI: Lupakan Kuching City, fan base antara 3 sebab kenapa James Okwuosa perlu sertai Pahang

WhatsApp Image 2024-02-26 at 16.13.52

Tangkap layar perbualan di laman Whatsapp yang mendakwa melihat kelibat tiga pemain berkenaan.

BACA LAGI: Demi minit permainan, tonggak Kuching City pilih kekal di Bumi Kenyalang

Malah, melihat perkembangan di media sosial para pemain berkenaan juga, tiada sebarang hantaran yang berkisarkan percutian di Kuching mahupun sebarang pertemuan melibatkan barisan pengurusan dan kejurulatihan The Cats.

Sekiranya benar mereka ke Kuching atas tujuan perpindahan, ia akan menggembirakan penyokong yang ingin menyaksikan pemain berpengalaman seperti Hazwan Bakri, Azri dan Kipre menyarung jersi The Cats musim depan.

Setakat ini, pasukan berpangkalan di Borneo tanah air itu sudah membawa masuk dua pemain iaitu Rodney Calvin bagi mengisi pertahanan tengah Kuching City dan Shamie Iszuan Amin untuk membantu bahagian serangan dengan peranannya sebagai sayap kanan.

Selain mereka, Kuching City juga pernah dikhabarkan ingin membawa masuk bekas pertahanan PDRM FC, James Okwuosa; Arif Fadzilah dari Terengganu FC (TFC); penyerang sayap kiri, Kuala Lumpur (KL) City FC, J. Partiban dan Daniel Amier Norhisham dari Harimau Selatan.

Kecenderungan Kuching City membawa nama-nama besar tanah air itu memberi petunjuk positif bahawa pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak tidak ingin sekadar menjadi kelab pelengkap jadual pada musim baharu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram