[VIDEO] ‘Sabah tetap di hati', Apek tolak saranan main bersama Terengganu


  • Podium
  • Isnin, 26 Feb 2024

Khairul Fahmi diturunkan dalam 21 perlawanan pada saingan musim lalu. — Facebook/SabahFC

SEJAK bersama Sabah FC pada musim 2022, bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat masih kekal setia bersama skuad The Rhinos dan difahamkan khidmatnya akan kekal digunakan pada tahun ini.

Khairul Fahmi ataupun lebih mesra dengan sapaan Apek itu menyertai Sang Badak bersama-sama rakan rapatnya seperti Baddrol Baktiar dan Rizal Ghalzali namun kini kedua-duanya sudah memilih haluan berbeza.

Baddrol yang meninggalkan Sabah lebih awal iaitu pada pendela perpindahan Julai 2023 dek keputusannya untuk terjun ke dalam dunia politik dan Rizal pula difahamkan ingin beraksi bersama pasukan di Semenanjung tanah air pula.

Manakala, pemain berusia 35 tahun itu masih setia menyarung jersi Sabah pada saingan 2024/2025 dan nampaknya Khairul Fahmi juga selesa dengan kehidupannya di bandar Kota Kinabalu.

Kesetiaanya bersama Sabah FC terbukti apabila dia menolak saranan seorang penyokong yang berhasrat untuk menyaksikannya menyarung jersi Terengganu pada suatu hari nanti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mungkin fans yang ambil', Khairul Fahmi kongsi kisah selipar kena rembat lepas solat Jumaat

WhatsApp Image 2024-02-26 at 17.02.01-2

Musim 2024/2025 adalah tahun ketiga Apek bersama Sabah. — Facebook/SabahFC

BACA LAGI: [VIDEO] Sempena hari jadi, fans imbau semula zaman kegemilangan Apek

“Sabah tetap di hati. Radu tetap radu, radu sampai mati,” jawabnya ringkas kepada penyokong dalam video siaran langsung yang dilakukan di TikTok baru-baru ini.

Meskipun usianya semakin lanjut namun kudrat pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berkenaan masih diperlukan dalam beberapa perlawanan penting termasuklah dalam aksi Piala AFC.

Berdasarkan statistik musim lalu, bekas tonggak skuad Harimau Malaya dikendalikan Datuk Ong Kim Swee itu diturunkan dalam 21 perlawanan termasuk 14 daripadanya adalah 14 aksi Liga Super.

Dengan khidmatnya yang masih sering digunakan oleh Kim Swee dan diberikan penggiliran sama rata bersama Damien Lim, tiada alasan untuk Khairul Fahmi berpisah dengan Sabah FC.

Malah, jangan terkejut jika Khairul Fahmi juga mengikut jejak langkah Amri Yahyah untuk bersara daripada sukan bola sepak profesional di Sabah FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram