BARU-BARU ini, pemain naturalisasi negara, Lee Tuck mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air apabila memuat naik beberapa keping foto memaparkannya menjuarai acara sukan lasak.
Menurut perkongsian terbabit, bekas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC itu kelihatan berdiri di atas podium dalam saingan Kejuaraan Hyrox yang diadakan di Barcelona, Sepanyol.
Pencapaian tersebut diraih selepas dia mencatatkan masa 57 minit sembilan saat dengan pencabar terdekat dari Perancis, Fry Thomas yang memiliki perbezaan 27 saat.
Namun, perkongsiannya itu menimbulkan pelbagai persoalan apabila Lee Tuck menyertai pertandingan berkenaan sebagai seorang warganegara Britain.
Perkara berkenaan sememangnya membangkitkan keraguan memandangkan pemain berusia 35 tahun tersebut sudah diberikan status naturalisasi pada 2022 sekali gus menyaksikan Lee Tuck juga bergelar rakyat Malaysia.
Lee Tuck dilihat sebagai warganegara United Kingdom ketika menyertai Kejuaraan Hyrox.
Status terbabit diberikan selepas Lee Tuck memenuhi ciri-ciri ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bermastautin dalam negara melebihi lima tahun.
Jadi, tidak hairanlah apabila status kewarganegaraan Lee Tuck terus dipertikaikan dengan pengguna Facebook, Hairi Mohd menimbulkan persoalan terbabit.
"Hi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), cuma nak tahu, apa status kewarganegaraan dia (Lee Tuck) ni dan apa statusnya dengan skuad bola sepak negara?
"Apa yang kami tahu, seseorang rakyat Malaysia tidak dibenarkan mempunyai dwi kewarganegaraan, kalau warga asing memilih untuk menjadi warganegara Malaysia, mereka perlu melepaskan passport asal terlebih dahulu sebelum menerima passport Malaysia," tulisnya.
Isu tersebut turut dipersoalkan beberapa peminat bola sepak yang lain memandangkan Lee Tuck sudah tidak lagi berada dalam negara sejak pertengahan tahun lalu.
"Soalan yang sebenarnya bermain di minda ramai pengikut sukan bola sepak. Di negara kita, tiada istilah dual citizenship (dua kerakyatan).
Lee Tuck membuat kejutan apabila meninggalkan skuad Sang Kenari pada Julai lalu. — Facebook/KDA FC
"Sama ada penganjur khilaf, atau ada maklumat yang tidak tersedia untuk rujukan rakyat secara amnya. Harap wakil dapat memberi pencerahan," ujar Ali Baizuri Razali.
"Nak tahu juga. Apabila rakyat biasa dalam situasi itu, cukup susah nak dapatkan kerakyatan. Seperti isu pilih kasih pula ya?" soal Faizal Ibrahim.
"Apa susah, tarik balik sahaja status dan taraf warganegaranya itu. Takkan kita mahu biarkan sahaja perkara ini berlaku," kata Adli Affandi.
Lee Tuck sebelum ini diberikan status naturalisasi selepas meluangkan lima tahun beraksi dalam Liga Super bersama beberapa kelab, termasuk KDA FC.
Bagaimanapun, pemain kelahiran England itu secara tiba-tiba membuat kejutan apabila mengumumkan sudah tidak lagi bersama skuad Sang Kenari.
Keputusannya itu diikuti dengan tindakannya yang pulang ke Eropah dan dia kini difahamkan bergelar seorang ejen hartanah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram