'Hanya FAM dan JPN boleh jawab', fans desak FAM tangani isu status kerakyatan Lee Tuck


  • Podium
  • Khamis, 23 Nov 2023

Lee Tuck diberikan status naturalisasi pada 2022 sekali gus menyaksikan dia bergelar rakyat Malaysia.

BARU-BARU ini, pemain naturalisasi negara, Lee Tuck mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air apabila memuat naik beberapa keping foto memaparkannya menjuarai acara sukan lasak.

Menurut perkongsian terbabit, bekas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC itu kelihatan berdiri di atas podium dalam saingan Kejuaraan Hyrox yang diadakan di Barcelona, Sepanyol.

Namun, perkongsiannya itu menimbulkan pelbagai persoalan apabila Lee Tuck menyertai pertandingan berkenaan sebagai seorang warganegara Britain.

Perkara berkenaan sememangnya membangkitkan keraguan memandangkan pemain berusia 35 tahun tersebut sudah diberikan status naturalisasi pada 2022 sekali gus menyaksikan Lee Tuck juga bergelar rakyat Malaysia.

Untuk info, kerajaan Malaysia tidak membenarkan rakyatnya memegang dua status kerakyatan dalam satu masa yang sama.

Lee Tuck

Lee Tuck mendaftar dirinya sebagai warganegara United Kingdom ketika menyertai Kejuaraan Hyrox.

Dalam media sosial, rata-rata pengguna Facebook mendesak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan segera dengan menarik balik kerakyatan pemain kelahiran England itu.

"Teringat balik waktu Curran Ferns komen pasal isu tipu status berdarah warisan, ramai cakap dia sakit hati dengan pemain tersebut. Sekarang fikir balik apa yang dia (Curran) cakap dulu," kata Adi Ismat.

"Suruh JPN tarik balik kad pengenalan (IC) dia dan senarai hitam terus," ujar Mohamad Muaz.

"Hanya FAM dan JPN boleh jawab status semasa Lee Tuck," luah Muhd Faudzi.

"Boleh lucut dah warganegara Lee Tuck, JPN sila tarik balik. Tiada semangat jati diri Malaysia," jelas Mohd Khairul Azmi.

N9

Lee Tuck memulakan kariernya dalam Liga Malaysia bersama Negeri Sembilan FA pada 2017.

Sebelum ini, Majoriti mendapatkan pandangan daripada penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim mengenai isu tersebut.

Zulakbal berpendapat isu warganegara Lee Tuck tidak boleh dipandang ringan berikutan melibatkan kerakyatan Malaysia.

"Mengenai kejuaraan itu saya tak pasti sebab setakat ini belum ada maklumat.

"Tapi sekiranya betul apa yang dilaporkan itu, saya fikir kita tarik baliklah kerakyatan Malaysia daripada dia," katanya kepada Majoriti.

Untuk rekod, pemain berusia 35 tahun tersebut sudah diberikan status naturalisasi pada 2022 sekali gus menyaksikan Lee Tuck juga bergelar rakyat Malaysia.

Status terbabit diberikan selepas Lee Tuck memenuhi syarat-syarat ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang beraksi dalam sesebuah liga melebihi lima tahun untuk bermain bersama skuad kebangsaan negara itu.

Majoriti sudah menghubungi FAM berkaitan status naturalisasi Lee Tuck, tetapi sehingga kini masih belum ada maklum balas daripada badan induk itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram