Ryuji Sato kembali diserang fans HM lepas Malaysia seri ikat Korea Selatan


  • Podium
  • Khamis, 25 Jan 2024

Malaysia berjaya mengikat Korea Selatan dengan keputusan seri 3-3 di Piala Asia 2024.

KEPUTUSAN seri dicatatkan skuad Harimau Malaya yang berjaya mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia, Qatar nyata satu situasi cukup membanggakan.

Semangat juang tinggi dipamerkan anak-anak buah Kim Pan-gon yang terus mengasak hingga ke penghujung perlawanan akhirnya membuahkan hasil menerusi sepakan Romel Morales yang berjaya menewaskan penjaga gawang lawan.

Dua gol terdahulu dijaringkan Faisal Halim dan Arif Aiman masing-masing pada separuh masa kedua.

BACA LAGI: Terciduk di tangan Harimau Malaya, bintang Spurs dalam poket double D

Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah pemberian sepakan penalti pengadil perlawanan kepada pasukan kebangsaan selepas Arif Aiman dikasari di dalam kotak penalti pasukan lawan.

Sistem pengadilan yang berpandukan kamera VAR dan ulang tayang daripada pihak pengadil sekali gus menjadikan perlawanan ini sebagai satu aksi yang cukup telus dan diterima ramai.

Ia secara tidak langsung mencetuskan semula kemarahan fans Harimau Malaya sebelum ini yang pernah dikecewakan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato pada aksi Piala AFF 2022 antara Vietnam dan Malaysia dua tahun lalu.

Untuk rekod, Sato dikecam hebat oleh peminat Harimau Malaya susulan beberapa keputusan yang dibuat pada perlawanan itu terutama memberikan penalti kontroversi kepada Vietnam pada minit ke-59 yang menjadi pencetus jaringan kedua skuad Golden Star Warriors.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Minta maaf fans Malaysia', FIFA hubungi Ryuji Sato isu kad merah, penalti

Ruangan komen di Instagram Sato kembali diserang peminat yang rata-ratanya mempertikaikan sistem pengadilan semasa dia bertugas sebelum ini.

"Ryuji kau memang tak layak jadi pengadil sebab tak reti nak buat keputusan adil dalam perlawanan," kata azizsarkawi.

"Jangan cakap pasal adil kalau tak reti buat keputusan dalam pengadilan, malu dengan kau sebab orang Jepun semuanya baik tapi kau perangai lain," ujar fxisllrhkm.

"Pengadil bodoh, tak reti buat keputusan adil macam di Piala Asia, kau tengok penalti biar bagi pada yang sepatutnya," tambah Hansdilman.

"Bukan pengadil taraf Asia dia ini, tengok masa AFF pun dah tahu memang setakat itu saja karier dia boleh pergi," tambah Gahaysuki.

Terdahulu, Sato sebelum ini telah memohon maaf atas isu pengadilan dalam perlawanan terbabit serta mendapat panggilan daripada FIFA.

"Saya menerima banyak mesej daripada penyokong Malaysia tentang keputusan pengadilan perlawanan semalam.

"Saya telah menerima panggilan daripada badan persatuan pengadil FIFA dan mereka akan membuat keputusan prestasi saya dalam perlawanan tersebut," katanya menerusi hantaran di Instagram. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram