Datuk, pegawai kanan polis antara dicaj dalang kartel dadah terbesar Sabah


Anggota polis bersenjata mengawal Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah bagi perbicaraan kes 'Geng Upik'.

INDIVIDU berpangkat Datuk, pemilik perniagaan francais dan dua anggota polis merupakan antara 11 orang didakwa terlibat dengan pertubuhan jenayah yang dikaitkan dengan kartel dadah terbesar di Sabah.

Penaung Pertubuhan Pakatan Amal Kebajikan Dan Ekonomi Sabah (PAKAT), Datuk Maslan Sani, 41; ahli perniagaan Nelson Yee Yen Chung; bekas pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Tawau, Inspektor Rahman Buriin, 44, dan polis Pasukan Gerakan Am Sarjan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45, didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Keseksaan Kod kerana menjadi ahli organisasi jenayah.

Individu lain yang turut berdepan pertuduhan sama ialah Mohd Fauzie Rablin, 33; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Fazrul Bahar, 32; Alkan Abraham, 35; Mazlan Mahmud, 41 dan Mahathir Jibarail, 49.

BACA LAGI: Didakwa terima dana sindiket dadah, Warisan nafi fitnah politik

Tiada pengakuan direkodkan berikutan pertuduhan terhadap 11 lelaki itu di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah, Noor Hafizah Mohd Salim yang menetapkan 1 Mac untuk kes terbabit disebut dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Kesemua 11 yang didakwa merupakan anggota 'Geng Upik' dan terlibat dengan kegiatan jenayah terancang pada awal 2015 dan 24 Disember tahun lalu.

Maslan, Shahlan dan Alkan dituduh melakukan kesalahan itu pada 2015, manakala Rahman, Jaisalfian, Mazlan, dan Mahathir sekitar 2018.

BACA LAGI: [VIDEO] Penagih dadah disyaki sakit mental tikam diri sendiri guna parang

Tertuduh berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika didapati bersalah dan kesemua pesalah tidak diberikan jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Siti Hajah Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzwan. — The Star/MUGUNTAN VANAR dan DAN STEPHANIE LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram