PERLAWANAN tumpuan antara Vietnam dan Malaysia bagi kumpulan B berkesudahan dengan kemenangan tuan rumah dan insiden layangan kad merah di Stadium My Dinh, Vietnam pada Selasa.
Kedua-dua pasukan turun dengan kesebelasan terbaik bagi memburu tiga mata dalam pertemuan penting ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium My Dinh itu, watak pengadil perlawanan, Ryuji Sato jelas mencuri tumpuan selepas keputusannya yang dianggap kontroversi dengan memberikan layangan kad merah serta keputusan penalti buat skuad negara.
Pada minit ke-62 apabila Azam Azmi dilayangkan kad merah kerana pengadil perlawanan dari Jepun itu berpendapat Azam Azmi melakukan kekasaran dengan memijak kepala pemain Vietnam, Van Hau.
Walaubagaimanapun, ulang tayang di kaca televisyen gagal memaparkan perkara sebenar yang berlaku sehinggalah terdapat individu yang tidak dikenali memuat naik situasi sebenar berkenaan kekasaran tersebut.
Namun, ini bukan pertama kali Ryuji mencipta kontroversi ketika membabitkan perlawanan antara Malaysia dan Vietnam.
Pengadil berusia 45 tahun itu pernah mengadili perlawanan membabitkan Malaysia dan Vietnam pada 2021 ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022 di Dubai.
Ketika itu, pengadil tersebut memberikan sepakan penalti buat Vietnam ketika dua pasukan tersebut saling terikat seri 1-1 menjelang 10 minit terakhir perlawanan.
Keputusan tersebut mencetuskan kemarahan para penyokong Malaysia waktu itu, selepas penalti yang diberikan oleh Sato jelas terlalu lemah dan sangat kontroversi.
Ini kerana Ryuji mendakwa pemain serangan Vietnam dikasari oleh Brendan Gan dalam petak penalti, biarpun tidak ada sentuhan yang dibuatnya.
Dalam pada itu, menerusi tinjauan Majoriti di akaun peribadi Instagram Ryuji, dia memohon maaf atas isu pengadilan dalam perlawanan terbabit serta mendapat panggilan daripada FIFA.
"Saya menerima banyak mesej daripada penyokong Malaysia tentang keputusan pengadilan perlawanan semalam.
"Saya telah menerima panggilan daripada badan persatuan pengadil FIFA dan mereka akan membuat keputusan prestasi saya dalam perlawanan tersebut.
Tangkap layar Instastory Ryuji.
"Saya memohon maaf kepada seluruh penyokong Malaysia.
"Saya mohon jangan serang akaun peribadi Instagram saya, kerana saya ada keluarga yang baca semua komen buruk yang dilontarkan," katanya dalam Instagram.
Walau apapun berlaku pada perlawanan tersebut yang membabitkan keputusan kontroversi Ryuji, kini Malaysia terpaksa menelan hakikat keputusan perlawanan tersebut dan perlu kembali bangkit untuk aksi seterusnya menentang Singapura, bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir di laman sendiri pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram