[VIDEO] Penumpang ganti pemandu letih rupanya mangsa hampir digilis lori di Kuala Langat


  • 112
  • Khamis, 25 Jan 2024

Tangkap layar mangsa kemalangan nyaris digilis sebuah lori di KM21.6 Lebuhraya Elite dari arah Utara-Selatan berhampiran Kuala Langat, Selangor.

SEORANG lelaki dilaporkan maut dalam insiden kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di KM21.6 Lebuhraya Elite dari arah Utara-Selatan berhampiran Kuala Langat, Selangor pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, siasatan dijalankan mendapati kemalangan berlaku apabila seorang pemandu dari arah Port Dickson, Negeri Sembilan menghala ke Shah Alam, Selangor berhenti di lorong kecemasan kerana keletihan.

Menurutnya, pemandu yang membawa kenderaan jenis Chevrolet itu ingin menukar tempat dengan penumpang di sebelahnya.

"Ketika penumpang hadapan itu keluar dari kereta kerana ingin bertukar tempat, mangsa secara tiba-tiba didatangi sebuah lori yang merempuh pintu keretanya.

"Akibatnya, mangsa tercampak ke lorong tengah dan lori terbabit kemudiannya hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang kiri sebuah kereta lain jenis Perodua Axia yang berada di laluan terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Lori sempat brek, nyaris gilis lelaki tercampak keluar kereta lepas kemalangan di Dengkil

"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori dan Axia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Terdahulu, Majoriti melaporkan sebuah lori hampir menggilis seorang mangsa kemalangan yang tercampak keluar dari kenderaannya selepas terlibat dalam kemalangan di lebuh raya berdekatan Dengkil.

BACA LAGI: [VIDEO] Kawan meraung rakam pemandu kena lenyek sampai putus kepala di Senawang

Video rakaman daripada kamera papan pemuka lori terbabit mengenai kejadian tersebut tular di aplikasi Telegram pada pagi Khamis.

Saksi yang melihat kemalangan atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-1853 9116. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram