[VIDEO] Lelaki mengaku solat zuhur lebih 12 rakaat, mufti minta jangan kecam, perjelas fahaman Mazhab Hanafi


  • Massa
  • Rabu, 24 Jan 2024

Tangkap layar pendedahan dibuat seorang lelaki dipercayai warga asing berhubung jumlah rakaat dalam solatnya.

PENGAKUAN seorang lelaki dipercayai warga asing yang mendakwa menunaikan solat lima waktu melebihi 12 rakaat mengundang pertikaian hebat dalam kalangan netizen.

Ketika disoal mengenai rakaat dalam solatnya, lelaki berkopiah dan berkemeja biru itu menjelaskan kiraan jumlah yang agak berlainan dan berbeza daripada fahaman Islam yang sepatutnya.

Turut membacakan surah al-Fatihah dan beberapa ayat al-Quran, namun penjelasan dibuat berkaitan kiraan rakaat dalam solatnya nyata mencetuskan persoalan ramai.

BACA LAGI: Dakwa Nabi Muhammad sebagai Tuhan, MKI sahkan fahaman SiHulk ajaran sesat

BACA LAGI: [VIDEO] Mufti gesa siasat, ambil tindakan segera terhadap pihak dakwa Nabi Muhammad sebagai Tuhan

Katanya, solat Subuh terdiri daripada empat rakaat, zuhur (12), maghrib (lima) dan isyak (17).

Segelintir warganet mula mempertikaikan dakwaan tersebut dan menyifatkan individu berkenaan terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Mengulas lanjut hal itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa agar orang ramai berhenti daripada mengecam dan melemparkan tuduhan terhadap lelaki tersebut.

Katanya, tiada kesalahan dilakukan individu berkenaan kerana ia merupakan sebahagian daripada fahaman bagi Mazhab Hanafi.

"Kalau diikutkan kepada Mazhab Hanafi, jumlah solat lima waktu masih kekal sama seperti Mazhab Syafi'e namun berbeza dari segi solat sunat sebelum dan selepas.

"Mazhab Hanafi ada kalanya akan berlebihan dari segi kiraan rakaat kerana terdiri daripada solat sunat yang banyak berbanding Mazhab Syafi'e.

"Jadi apa yang diperkatakan dalam video tersebut jelas menunjukkan dia merupakan mengamalkan fahaman Mazhab Hanafi, tiada apa yang salah melainkan mereka yang mengecam tanpa alasan kukuh," katanya kepada Majoriti.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak mencetuskan sebarang spekulasi dan pertikaian berhubung hal itu selain perlu sentiasa menghormati fahaman individu sesama Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram