[VIDEO] Susulan jawapan menteri lepas kontroversi pintu pesawat tercabut, ramai percaya 'Made In Malaysia' tetap berkualiti


  • Massa
  • Jumaat, 12 Jan 2024

Palam pintu yang tercabut dari badan pesawat Boeing 737 Max 9 ketika terbang di ruang udara Oregon, AS mempunyai tulisan ‘Made in Malaysia'. — Agensi

NAMA Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia susulan daripada penemuan palam pintu Boeing 737 Max 9 yang tertera tulisan tangan 'Made In Malaysia'.

Memetik laporan saluran televisyen antarabangsa, Oregon Public Broadcasting (OPB) melaporkan palam pintu didakwa dikilangkan di Malaysia.

Dalam kejadian Jumaat minggu lalu, sebuah pesawat Alaska Airlines yang berlepas dari Oregon menuju California terpaksa mendarat ketika berada pada ketinggian 4,876 meter apabila sebahagian tingkapnya tercabut.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya masih belum lagi menerima laporan rasmi berkenaan kejadian tersebut.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian dan memandangkan tiada laporan rasmi dibuat kepada kementerian mengenai perkara itu.

"Kami tidak menerima apa-apa maklumat dan itu bukan di bawah bidang kuasa saya. Saya tidak boleh mengulas mengenainya kerana laporan itu hanyalah daripada saksi awam.

Jika ada sebarang laporan rasmi mengenai perkara ini, maka kami akan menelitinya," kata Loke pada satu sidang media memetik laporan berita The Star.

BACA LAGI : [VIDEO] Panel tingkap tiba-tiba tercabut, pesawat Alaska Airlines mendarat cemas

BACA LAGI : [VIDEO] Biker seksi Rusia rakam perjalanan akhir sebelum maut motor bergesel pengadang jalan

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang laporan rasmi, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan meneliti perkara itu.

Pada 5 Januari lalu, sebuah pesawat Alaska Airlines Boeing 737 MAX 9 melakukan pendaratan cemas di Portland, Oregon selepas palam pintu tercabut di udara.

Insiden itu turut menjadi bualan di laman sosial media dan ada dalam kalangan warga maya meluahkan rasa bangga palam pintu tersebut dibuat dan dikilangkan di Malaysia.

Izuddin Yazid berkata, tiada masalah sekiranya palam pintu dibuat di Malaysia dan mendakwa kecuaian kemalangan itu berlaku berpunca daripada syarikat penerbangan itu sendiri.

"Apa salahnya 'Made In Malaysia', tak kan nak tercabut dan tak ada kualiti kerana dibuat di sini?

"Pemasangan pesawat bukan dibuat di Malaysia pun dan kompenen pesawat memang banyak kilang-kilang di Malaysia. Tiada isu pun, kecuaian berlaku di pihak syarikat penerbangan, berkemungkinan tidak ditutup dengan cara yang betul sehingga menyebabkannya terbuka dan tercabut.

Sementara itu seorang lagi pengguna, Hisham Go8 berpendapat rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga kerana komponen pesawat tersebut dibuat di Malaysia dan tidak patut dijadikan isu.

"Sepatutnya kita rasa bangga, palam pintu itu jatuh daripada ketinggian yang tinggi dan masih kukuh. Ini bermakna negara kita mengeluarkan produk yang bagus dan berkualiti. Jenama tempatan, mendunia di luar negara," tulisnya.

Untuk rekod, pintu itu dipercayai tercabut pada altitud 16,000 kaki (4,877 meter) sebelum terjatuh di laman belakang rumah penduduk di pinggir bandar Oregon, Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) mengenal pasti kawasan itu sebagai salah satu tempat ia mungkin terjatuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram