KERAJAAN diminta mewujudkan undang-undang bagi melindungi para penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan ekoran daripada kecuaian pemandu kenderaan sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.
Penganalisis automotif tempatan, Hazeri Samsuri berkata, ia susulan insiden daripada kemalangan yang membabitkan seorang penunggang motosikal yang dilanggar sebuah kereta di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang tahun lalu.
Hazeri turut berkongsi video kemalangan tersebut menerusi laman X (Twitter) miliknya.
"Kes kereta 'hilang kawalan' di USM bulan November tahun lepas.
"Bawa motor ini sudah jadi 'sitting duck' dan makin ramai dah faham yang kes kemalangan motor bukan disebabkan oleh mat rempit atau kesalahan penunggang sahaja.
"Apa usaha yang dilakukan untuk melindungi penunggang motosikal ini?
"Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) patut cuba wajibkan 'Blind Spot Indicator' pada kereta kalau nak dapat 5-star award," ciapnya pada Selasa.
BACA LAGI: Upgrade segera sistem 'sampah' IDME atau lantik golongan siswazah masukkan data pelajar
Video tersebut turut menjadi bualan warga maya dan rata-rata daripada mereka turut bersetuju dengan pendapat penganalisis automotif tempatan tersebut.
@shamsul_is berkata, kerajaan terutamanya Kementerian Pengangkutan sepatutnya memainkan peranan penting dalam mewujudkan satu undang-undang atau sistem dalam melindungi penunggang motosikal.
"Kerajaan sepatutnya lebih tegas dalam menangani isu ini. Jika kita lihat pada tahun lalu, banyak kes penunggang motosikal yang maut dan cedera gara-gara pemandu kereta yang cuai.
"Kenapa bila berlaku kemalangan, asyik mat rempit yang disalahkan sedangkan pemandu yang cuai. Pada masa sama, jarang saya dengar pemandu menerima hukuman yang setimpal," katanya.
Seorang lagi warga maya, @logan_ turut mempunyai pendapat yang sama.
"Ada beza pemandu hilang kawalan dengan hilang akal. Kesian penunggang yang dirempuh dalam video itu. Walaupun kes lama tetapi patut dijadikan pengajaran," tulisnya.
Untuk rekod, kejadian yang berlaku 27 November lalu yang dikongsikan Hazeri itu berlaku di laluan arah Universiti Sains Malaysia (USM) ke Jalan Tun Dr Awang, membabitkan tiga motosikal dan empat kereta.
Kemalangan berlaku selepas kereta yang dipandu seorang wanita hilang kawalan dan melanggar kenderaan yang berada di hadapannya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superitendan V Saravanan dilaporkan berkata, pemandu wanita itu cedera pada dada, manakala penunggang dan pembonceng sebuah motosikal masing-masing mengalami kecederaan pada leher dan kaki kanan serta pendarahan di kepala.
"Seorang penunggang motosikal patah kaki dan seorang lagi belum pasti manakala tiga lagi pemandu kereta tidak cedera," katanya menerusi kenyataan media. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram