[VIDEO] 'Yang undi rakyat Sabah, tapi yang selesa pelancong', penduduk gesa baiki jalan berbanding naik taraf KKIA


  • Massa
  • Khamis, 11 Jan 2024

Tangkap layar video yang memaparkan keadaan jalan raya di laluan Beluran ke Kinabatangan dan Sandakan.

RAKYAT Sabah mendesak kerajaan memperbaiki jalan raya di negeri tersebut sebelum menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Perkara tersebut turut menjadi bualan di sosial media sejak kebelakangan ini.

Untuk rekod, pada tahun lalu, Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew dimaklumkan oleh pengurusan Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) bahawa MASB memperuntukkan sejumlah RM8.4 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang KKIA.

Projek naik taraf itu turut disokong beberapa menteri Sabah yang lain.

Namun apa yang menjadi isunya sekarang ialah, segelintir rakyat Sabah melihat projek itu tidak perlu dibuat dan kerajaan seharusnya memberikan fokus membaik pulih kemudahan asas lain yang lebih penting.

BACA LAGI: [VIDEO] Rosak tak sampai 3 bulan lawatan Agong, penduduk Sabah kecewa jalan kembali berlubang

Ia susulan reaksi terhadap tindakan seorang pengguna media sosial memuat naik keadaan jalan raya yang sesak dengan kenderaan di laluan Beluran ke Kinabatangan dan Sandakan.

Melalui video yang dikongsikan itu, jelas kelihatan jalan raya tersebut berada dalam keadaan teruk.

Melihat kepada keadaan tersebut, seorang pengguna media sosial, Felix Augitine meluahkan rasa kecewanya.

"Menteri-menteri lebih suka upgrade (naik taraf) lapangan terbang daripada perbaiki jalan raya.

"Yang mengundinya rakyat tetapi diberi kemudahan yang selesa kepada pelancong. Nasib rakyat Sabah," luahnya.

Humam Azmi pula meninggalkan komen yang sinis di ruangan komen video tersebut.

"Pemimpin Sabah perjuangkan airport (lapangan terbang) baharu di Kota Kinabalu berbanding jalan raya," tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Kelly Eidy turut meninggalkan sindiran terhadap pemimpin Sabah selepas melihat video berkenaan.

"Nak tunggu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melawat Sabah kembali baru jalan itu nak dibaik pulih semula.

"Sabah maju jaya tetapi rakyat sengsara. Apa guna airport maju tetapi jalan raya masih sama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram