PERAK FC semakin berani menunjukkan taringnya di pentas Liga Super musim ini selepas meraih kemenangan sulung 2-0 ketika menentang Kuching City FC pada Ahad.
Kemenangan pada perlawanan yang diadakan di Stadium Ipoh, Perak itu sekali gus menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) berada di tangga keenam Liga Super dengan kutipan lima mata.
Sementara itu, Kuching City FC pula berada di tangga ke-10 dengan kutipan tiga mata dan menang satu daripada empat perlawanan.
Antara yang tampil mengulas mengenai perlawanan itu adalah pembantu ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin.
Perak FC dianggap tidak bermain dengan baik, manakala Kuching City FC pula disifatkan membuat persembahan teruk oleh Sulaiman. — Perak FC
Memetik laporan portal media tempatan, Sulaiman mengakui kekalahan pasukannya ke atas Perak FC berikutan pasukannya bermain dengan buruk.
Dia melihat pasukan Perak tidak bermain dengan baik, tetapi kesilapan yang dilakukan pemainnya dan kegagalan menyudahkan peluang membuatkan mereka pulang dengan tangan kosong.
"Kita kalah pada malam ini bukan disebabkan Perak bermain dengan bagus tetapi kita yang main teruk, di Liga Super tiada ruang untuk buat kesilapan.
"Lawan Selangor dan Sabah sebelum ini kita boleh terima kekalahan tetapi tewas kepada Perak adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana tahap kita dan mereka sama sahaja," katanya sambil menafikan tidak memandang rendah pasukan Perak.
Pada masa sama, kenyataan kontroversi Sulaiman turut mendapat respons daripada penyokong tegar Perak FC di laman Facebook.
Coway Cikgu Sabri Tajuddin berkata, Perak FC pada musim ini dianggap 'team underdog' atau dipandang rendah oleh kebanyakan pasukan, berikutan persembahan pada tahun lalu.
Jelasnya, ia merupakan satu kelebihan buat Perak kerana pasukan lain akan mengambil mudah seterusnya salah membuat percaturan.
"Jadi, kita kena ambil peluang ini sebaiknya. Apa pun, masih ada ruang untuk memperbaiki diri.
"Perjalanan liga pun masih panjang dan mencabar. Teruskan sokongan buat pasukan kita," tulisnya.
Aksi teruja pemain Perak FC selepas memenangi perlawanan pada Ahad. — Perak FC
Tambah Hani Suraya: "Ini bagus. Perak boleh main dengan lebih semangat untuk beat team favourite."
Tulis Anuar Abu Bakar: "Iktibarnya. Jangan memandang rendah kepada orang lain sebelum bertemu dengannya."
Dalam perlawanan seterusnya, Perak FC akan menentang Sri Pahang FC pada Khamis ini manakala Kuching City FC akan menentang Kedah Darul Aman FC pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram