NAMA Guilherme De Paula kembali menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan apabila dia berjaya menjaringkan dua gol bersama Melaka FC ketika menentang Harini Selangor FT dalam pertandingan Liga M3 pada Sabtu.
De Paula berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan dan tampanan untuk membantu Melaka mengutip satu mata berharga di tempat lawan.
Namun kecemerlangan De Paula itu menarik minat penyokong Pahang untuk melihat dia bergandingan dengan Kpah Sherman di kem Tok Gajah.
Kpah dilihat sukar beraksi berseorangan di bahagian serangan pasukan Tok Gajah kerana tiada gandingan yang dapat membantunya mencari ruang gol.
Kpah Sherman (kanan) ketika menentang Selangor FC. — Facebook/Sri Pahang FC
Sebelum Kpah berhijrah ke Sri Pahang, gandingan terbaiknya ialah Kipre Tchetche yang mana dia membentuk kerjasama berbahaya bersama pemain itu di Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC pada musim-musim sebelumnya.
Perancangan utama pihak pengurusan Sri Pahang pada musim ini ialah untuk mengandingkan Kpah bersama Lucas Silva, namun malangnya pemain kelahiran Brazil itu mengalami kecederaan lutut yang memaksa dia berehat lama.
Untuk info, Lucas Silva merupakan penyerang berbisa buat Penang FC musim lalu dan dibawa masuk ke Sri Pahang bagi saingan musim 2023.
Penyerang berusia 32 tahun itu menonjol bersama Penang FC selepas meledak 11 jaringan dalam 15 perlawanan musim lalu walaupun baru sahaja menyertai skuad Harimau Kumbang pada jendela perpindahan kedua liga.
Kini nama De Paula meniti di bibir peminat Tok Gajah untuk menyaksikan dia bergandingan bersama Kpah kerana Pahang dilihat perlu mencari seorang 'target man' untuk mengumpan pertahanan lawan.
Pemain naturalisasi itu antara pemain yang sesuai untuk dijadikan target man kerana ketinggian dan fizikal yang ada padanya.
"Pemain seperti De Paula sesuai bermain dengan Pahang, sayang dia tidak di loan ke Pahang.
"Jika tidak Kpah sekurangnya ada pair yang baik selepas kehilangan rakan serangan, Lucas Silva, harap ada perkhabaran baik tentang Lucas," ujarnya.
Lucas Silva (tengah) kini mengalami kecederaan lutut semasa latihan pra musim. — Facebook/Sri Pahang FC
Untuk rekod De Paula pernah beraksi bersama Selangor FC, PDRM FC, KL City, Perak FC dan JDT sebelum dipinjamkan ke Melaka musim ini.
Bersama Malaysia, De Paula menjaringkan gol dalam 13 penampilan di peringkat antarabangsa.
Mungkin De Paula tidak setangkas seperti zaman mudanya, tetapi untuk memainkan peranan sebagai target man, pemain berusia 36 tahun ini mungkin pilihan terbaik.
De Paula mungkin boleh mencontohi pemain-pemain luar negara lain seperti Oliver Giroud, Zlatan Ibrahimovic dan Fabio Quagliarella yang masih boleh beraksi baik walaupun sudah berusia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram