Bukan saja tonggak naturalisasi, ubi muda JDT, Kedah berpotensi dapat 'call-up' kem Harimau Malaya


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Khidmat bintang naturalisasi baharu seperti Endrick (kanan) dan Paulo Josue (kiri) boleh dimanfaatkan skuad kebangsaan kali ini. — Asean Football

SKUAD Harimau Malaya akan berkumpul minggu depan bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong, pada bulan ini.

Dengan berbaki kurang dua minggu lagi, jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akan mengeluarkan senarai nama pemain yang dipanggil dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan prestasi awal Liga Super musim ini, tentu ada muka-muka baharu yang bepotensi dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan yang bakal menggunakan fasiliti pusat latihan Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT), kali ini.

Panggilan terbaharu itu tentunya mengujakan para penyokong Harimau Malaya memandangkan ada nama bintang naturalisasi baharu seperti Endrick dos Santos dan Paulo Josue yang boleh dimanfaatkan Pan-gon bagi membentuk pasukan yang mantap.

Berikut antara muka baharu yang berpotensi dipanggil membarisi senarai pemain skuad kebangsaan kali ini.

1971248

Aksi Feroz ketika bertemu KL City FC. Facebook/JDT

1) Feroz Baharuddin

Nama prospek dalam pembikinan skuad JDT ini sudah mula memikat ramai penyokong Harimau Selatan, malah bakat muda ini turut diakui penyokong pasukan lain.

Setakat ini, Feroz konsisten membarisi kesebelasan utama JDT dalam empat perlawanan pertama Liga Super yang menyaksikan dia bermain dengan cukup cemerlang di posisi pertahanan.

Tidak mustahil, pemain berusia 22 tahun itu mampu memikat Pan-gon dengan kekentalan menyekat kemaraan pihak lawan sekali gus menyarungkan jersi Harimau Malaya buat pertama kalinya.

2) Afiq Fazail

Peluang untuk pemain berusia 28 tahun ini dipanggil ke skuad kebangsaan cerah jika melihat kepada prestasi semasa bersama JDT.

Sebelum ini, Afiq dipanggil menyertai Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF, namun dia antara pemain JDT yang menarik diri atas urusan peribadi.

Mungkin kali ini, Pan-gon dapat menguji pemain JDT itu dalam gabungan dengan pemain-pemain pilihan lain untuk membentuk pasukan yang kuat dan 'garang'.

335335810_908693423519373_5450333407577085972_n

Mutu permainan Hong Wan semakin meningkat. — Facebook/ MFL

3) Shio Hong Wan

Nama pemain muda berusia 22 tahun ini tentunya tidak ketinggalan dalam senarai baharu pemain Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Piala Asia 2023.

Hong Wan berjaya menembusi kesebelasan utama JDT sepanjang musim lalu selepas tonggak utama, Syamer Kutty berehat panjang akibat kecederaan lutut yang dialami.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-China itu semakin diyakini selepas mampu melakukan bentesan-bentesan kemas, malah hantarannya juga jarang mengecewakan.

4) Irfan Zakaria

Pemain berusia 27 tahun ini semakin meningkat naik selepas perpindahannya dari KL City FC ke Sabah FC.

Wajahnya tidak pernah lekang daripada diturunkan dalam kesebelasan utama Sang Badak kendalian Datuk Ong Kim Swee musim ini.

Pastinya, impian Irfan untuk menyarungkan jersi Harimau Malaysia kali ini tertunai dengan persembahan cemerlang yang dipamerkan di pentas Liga Super setakat ini.

5) Daniel Ting

Pemain pertahanan sensasi Sabah FC ini juga mungkin tidak ketinggalan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan kali ini.

Pemain kacukan Malaysia-England kelahiran Sarawak itu juga mempamerkan aksi membanggakan apabila membantu Sabah FC mencipta jaringan di pentas Liga Super.

Tidak mustahil, susuk pemain berusia 31 tahun ini bakal memperkuatkan skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa itu nanti.

335197433_636238631569733_8563885266015047020_n

Fayadh memiliki pengalaman beraksi di pentas AFC. — Facebook

6) Fayadh Zulkifli

Ubi muda yang bermain untuk pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kendalian Nafuzi Zain ini dilihat antara ubi muda yang berpotensi dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan.

Pengalaman beraksi di pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersama Sang Kenari musim lalu sedikit sebanyak sudah mempersiapkan dirinya untuk bergelar seorang pemain kebangsaan.

Pemain berusia 24 tahun yang beroperasi di posisi sayap kanan dan kiri itu dirasakan dapat memberi nilai tambah dari segi intensiti permainan pasukan.

7) Al-Hafiz Harun

Seperti Fayadh, pemain sayap KDA FC ini juga berpotensi menjadi muka baharu dalam skuad Harimau Malaya bimbingan Pan-gon.

Al-Hafiz yang berusia 28 tahun boleh menjadi susuk penting dalam pasukan kerana kelajuan dan kelincahan yang dimiliki.

Diharapkan pemain tersebut dapat memanfaatkan peluang beraksi dengan skuad kebangsaan sekiranya namanya disenarai pendek dalam pelan taktikal jurulatih Korea Selatan itu.

1974743

Baqiuddin (kiri) berpotensi dipanggil ke kem Harimau Malaya kali ini.

8) Muhd Baqiuddin Shamsudin

Persembahan pemain berumur 28 tahun itu bersama Sri Pahang FC dipuji kerana membantu meningkatkan kembali imej skuad Tok Gajah pada musim ini.

Pan-gon boleh menguji Baqiuddin bersama barisan berpotensi 'utama baharu' pasukan kebangsaan ketika aksi persahabatan antarabangsa kelak.

Ini bagi melihat sejauh mana tahap keserasiannya bersama rakan sepasukan selain menganalisis keupayaannya dari segi teknikal.

9) Sikh Izhan

Pengganti Syihan Hazmi di Negeri Sembilan FC ini cukup tangkas dalam permainannya sekali gus membuktikan dia layak menjadi penjaga gol utama skuad Jang.

Sepanjang empat perlawanan NSFC setakat ini, Sikh Izhan berjaya menempatkan dirinya dalam senarai top saves Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Prestasi membanggakan Sikh Izhan dirasakan dapat menyaingi dua penjaga gol kebangsaan sebelum ini iaitu Kalamullah Al-Hafiz dan Rahadiazli Rahalim.

334050796_765358478484203_1693989176182002469_n

Bryan boleh membaca gerakan bola lawan dengan sangat baik. — Facebook/ MFL

10) Bryan See

Penjaga gol Perak FC ini boleh menjadi 'senjata baharu' Pan-gon dalam pasukan kebangsaan.

Kecekapan dan ketangkasannya membaca gerakan bola lawan menjadikannya antara tonggak Seladang yang cukup digeruni ketika ini.

Harimau Malaya akan melayan kunjungan Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 23 Mac ini sebelum bertemu Hong Kong, 28 Mac.

Malaysia pernah mengalahkan Hong Kong 2-0 dan Turkmenistan 3-1 pada 1 dan 8 Jun tahun lalu dalam aksi persahabatan dan kempen kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Turkmenistan berada diranking ke-135 dunia dan Hong Kong (146), manakala Harimau Malaya pula menghuni kedudukan ke-145. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram