PERAK FC akhirnya mampu menarik nafas lega apabila mencatatkan kemenangan pertama Liga Super ketika berdepan Kuching City FC.
Dua gol yang dijaringkan pemain import Korea Selatan, Seo Seonung jelas menggembirakan penyokong yang membanjiri Stadium Ipoh, Perak pada Ahad.
Selain itu, persembahan cukup baik turut dipamerkan anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim yang baru sahaja disingkirkan di peringkat awal Piala FA di tangan Sri Pahang FC.
Antara pihak yang pastinya teruja dengan kemenangan itu adalah pihak pengurusan Perak FC yang sebelum ini sudah melakukan pelaburan besar-besaran sepanjang jendela perpindahan.
Perkara tersebut dikongsikan menerusi laman Facebook TBG Super Fan yang dikatakan milik Ketua Pegawai Eksektutif kelab, Bobie Farid Shamsudin.
"Terima kasih semua. Akhirnya, panic buying katanya dahulu apabila kita mendapatkan Seo Seonung. Alhamdulillah, jumpa Khamis ini," katanya.
Namun, berdasarkan luahan yang memenuhi ruangan komen, terdapat satu hantaran yang sedikit sebanyak menerima perhatian Bobie serta penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG).
Seorang peminat setia Perak FC, Firdaus Ibrahim berkata, pihak pengurusan stadium tidak membenarkannya masuk meskipun dia berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Firdaus merupakan bekas atlet paralimpik tenis yang pernah mewakili Perak. — Facebook/Firdaus Ibrahim
"Saya berdepan satu pengalaman yang cukup mengecewakan di Stadium Ipoh, Perak. Saya bergerak dari Kuala Lumpur (KL) ke Perak dan ketika itu, sudah memasuki masa kedua permainan.
"Tetapi, saya tidak dibenarkan untuk masuk oleh staf yang mengawasi pintu grandstand kerana mereka meminta tiket walaupun saya OKU yang sepatutnya tidak memerlukan tiket," katanya.
Firdaus merupakan bekas atlet tenis paralimpik yang pernah mewakili Perak dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan.
Tambahnya, mereka yang mengawasi pintu stadium juga tidak memberikan sebarang kompromi kepada penyokong tersebut meskipun sudah ditegur pihak lain.
Kecewa dengan perkara berkenaan, Firdaus memilih untuk meninggalkan stadium sebelum berkongsi perkara berkenaan bagi memastikan ia tidak berulang.
Menyedari perkara itu, Bobie turut berasa kesal serta simpati terhadap nasib penyokong setia itu dan bertegas satu tindakan sewajarnya bakal diambil.
"Saya akan siasat dan mohon maaf sangat-sangat tuan dan ia telah dipanjangkan, insya-ALLAH," katanya.
Selepas ini, Perak FC bakal berdepan Sri Pahang FC dalam perlawanan kelima Liga Super di laman sendiri dengan ramai mengatakan ia merupakan peluang untuk menebus kekecewaan dalam aksi Piala FA sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram